editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – BERSATU Bahagian Lembah Pantai tampil menyatakan pendirian tidak menyokong serta membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSATU Bahagian Batu bertarikh 11 Februari 2026, sambil menegaskan suara perubahan dalam parti adalah tuntutan akar umbi demi kelangsungan dan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, gesaan agar Presiden parti berehat dan memberi laluan bukanlah gerakan individu atau konspirasi terancang, sebaliknya mencerminkan suara kolektif sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian di seluruh negara.
“Tuntutan perubahan itu digerakkan berdasarkan realiti politik semasa dan keperluan strategik untuk memastikan parti berada dalam kedudukan terbaik menghadapi PRU-16.
“Langkah berkenaan perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh parti, bukan sebagai tindakan derhaka atau pengkhianatan terhadap kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas dakwaan yang cuba mengaitkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan gerakan berkenaan, beliau berkata tuduhan itu tidak berasas dan tidak adil.
“BERSATU Lembah Pantai menolak sebarang cubaan menjadikan Hamzah sebagai kambing hitam dalam polemik dalaman parti.
“Prinsip keadilan harus ditegakkan tanpa menghukum mana-mana pihak tanpa bukti,” katanya.
Dalam masa sama, gesaan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat disifatkan sebagai langkah berhemah bagi memberi ruang kepada beliau memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac.
Pendirian itu dibuat dengan penuh hormat demi menjaga imej serta kestabilan parti dalam tempoh mencabar.
Kenyataan berkenaan turut menyentuh isu budaya politik dalaman yang didakwa merosakkan institusi Presiden.
BERSATU Lembah Pantai berpandangan terdapat kelompok tertentu yang terlalu taksub mempertahankan kedudukan sehingga menyerang kepimpinan lain dalam parti, termasuk mengaitkan isu kekalahan pilihan raya negeri tertentu secara tidak seimbang.
Mereka menegaskan, jika soal akauntabiliti ingin dibincangkan, ia perlu dilakukan secara adil dan menyeluruh.
Menyentuh kedudukan di Wilayah Persekutuan, BERSATU Lembah Pantai menolak tanggapan bahawa semua kepimpinan negeri itu menyokong satu pihak tertentu.
Kenyataan itu turut menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai individu yang cuba memainkan peranan pendamai, namun usaha terbabit didakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu mengingatkan perpecahan dalaman berpotensi memberi kesan besar terhadap kedudukan parti dalam Perikatan Nasional (PN).
BERSATU Lembah Pantai berpandangan bahawa sekiranya PAS menarik diri akibat konflik dalaman, peluang untuk memenangi PRU-16 akan terjejas.
Malah, walaupun PN memenangi sejumlah besar kerusi, sokongan parti-parti lain tetap diperlukan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, mereka menyeru agar kerjasama strategik diperkukuh dengan parti-parti yang mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sedia ada, berbanding membuka ruang kepada pertindihan tuntutan kerusi yang boleh merumitkan rundingan politik.
Muhamad Muqharabbin berkata, BERSATU bukan milik individu, sebaliknya milik ahli dan perjuangan bersama.
Beliau memberi amaran sebarang tindakan terhadap kepimpinan tertentu tanpa asas kukuh boleh memberi implikasi besar kepada hubungan dalam gabungan parti.
“Saya tidak menginginkan perpecahan, namun tidak akan berdiam diri apabila suara perubahan yang disifatkan sebagai jujur dilabel sebagai sabotaj,” katanya.

