29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026

Bio Eneco perkukuh pelaburan hijau, pacu transformasi tenaga Pantai Timur

editormaxinfo@gmail.com

Foto Bernama

KUANTAN – Dalam usaha Malaysia mempercepat peralihan ke arah tenaga bersih, pembukaan Kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh keselamatan tenaga, menyokong ekonomi rendah karbon serta merangsang pertumbuhan industri hijau negara.

Perasmian kilang berteknologi tinggi itu oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menjayakan agenda Ekonomi MADANI dan aspirasi kelestarian nasional.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad, Yeo Hock Cheong berkata, bio tenaga merupakan penyelesaian peralihan yang realistik, berskala besar dan boleh dilaksanakan segera ketika dunia bergerak ke arah sumber tenaga bersih.

“Kilang ini bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya.

Majlis perasmian turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak serta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.

Hadir sama Pengerusi Elridge Energy Holdings Berhad, Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurut Elridge Energy, pembangunan kilang itu merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal syarikat bernilai RM68.14 juta bagi membina rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim di Kuantan, Pasir Gudang dan Lahad Datu.

“Pelaburan ini mencerminkan pelaksanaan strategi yang berdisiplin dalam memanfaatkan hasil IPO untuk meningkatkan keupayaan pemprosesan, memperkukuh kesiapsiagaan bekalan dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.

Kemudahan di Gebeng menjadi tonggak utama strategi jangka panjang kumpulan untuk membangunkan platform biojisim berkualiti tinggi berorientasikan eksport, selari dengan perkembangan pesat peralihan tenaga global.

Direka untuk menghasilkan PKS bertaraf eksport, kilang ini diperakui di bawah pensijilan antarabangsa Green Gold Label (GGL), sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap piawaian kelestarian yang ketat, kebolehkesanan rantaian bekalan serta integriti data karbon.

Pemilihan Kawasan Perindustrian Gebeng sebagai lokasi operasi turut dianggap strategik kerana kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan, sekali gus menyokong kecekapan logistik dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang.

Projek bio tenaga ini dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi Pantai Timur, di samping membuka peluang pekerjaan, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.

Elridge Energy turut merancang untuk terus memperluas kapasiti tenaga hijau negara secara berperingkat sejajar keperluan pasaran dan keutamaan keselamatan tenaga nasional.

Kilang Bio Eneco di Gebeng merupakan kemudahan ketiga syarikat itu selepas Telok Gong dan Kapar di Selangor, manakala pembukaan kilang seterusnya dirancang di Pasir Gudang, Johor.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular