editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Program JIMBA Finale 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd yang diadakan sempena ulang tahun penubuhan syarikat ke-23 berlangsung dengan penuh meriah apabila berjaya menghimpunkan lebih 11,000 peserta yang hadir secara fizikal di seluruh cawangan Andalusia di Malaysia, manakala jumlah keseluruhan penyertaan direkodkan melebihi 17,000 orang.
Program berskala nasional ini bukan sahaja menjadi penutup tirai tahun 2025, malah berperanan sebagai platform penyatuan jemaah Andalusia dalam semangat kebersamaan, kesyukuran dan amanah, sejajar dengan aspirasi syarikat dalam memartabatkan perkhidmatan umrah dan pelancongan Islamik.
Kemuncak acara berlangsung pada 31 Disember 2025 di Darul Muttaqin Home, Kuala Lumpur, apabila seorang peserta dari Gua Musang, Kelantan, Rakiah Sulaiman diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah Bonanza JIMBA Finale 2025.
Rakiah membawa pulang hadiah istimewa berupa sebuah kereta BYD Sealion 7, sekali gus mencipta detik penuh emosi dan kenangan manis buat keluarga serta peserta yang mengikuti acara berkenaan secara serentak di seluruh negara.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris, dalam ucapannya berkata, penghujung tahun bukan sekadar penutup kalendar, sebaliknya satu ruang refleksi dan peluang untuk membina azam baharu bersama dalam memelihara amanah serta memperkukuh komitmen terhadap perkhidmatan kepada tetamu Allah.

Menurut beliau, Andalusia tidak akan berkompromi dalam soal amanah dan kualiti perkhidmatan, malah bertekad untuk terus melangkah jauh sehingga puluhan tahun akan datang dengan membawa nilai yang sama.
Ucapan itu disifatkan sebagai antara detik paling menyentuh hati sepanjang program, sekali gus menyuntik semangat baharu dalam kalangan jemaah dan warga kerja Andalusia.
Majlis JIMBA Finale 2025 turut menyaksikan pelancaran dan perasmian Majalah AndalusiaKu edisi 1448H (2026/2027), sebuah penerbitan yang memuatkan inspirasi perjalanan umrah serta kisah pengalaman jemaah.
Pelancaran majalah berkenaan disempurnakan oleh Ida Riswana bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Haji Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Haji Ibrahim Mat Sin.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan sesi penghargaan kepada jemaah setia, pengumuman tawaran eksklusif pakej pelancongan serta pelbagai cabutan bertuah.

Ida Riswana berkata, setiap usaha pengembangan Andalusia perlu berpaksikan niat yang betul, keikhlasan dalam menyantuni duyufur Rahman serta keberanian untuk berfikir lebih besar demi kebaikan umat Islam secara keseluruhan.
Beliau menyatakan keyakinan segala perancangan dan inisiatif syarikat adalah bertujuan membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan industri umrah negara.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat umat Islam tampil lebih megah, bangga dan gagah dalam sektor perniagaan, khususnya dalam industri pelancongan umrah yang semakin mencabar di peringkat global.

“Kejayaan Andalusia adalah hasil sokongan berterusan daripada jemaah yang setia bersama syarikat sejak sekian lama,” katanya.
Menurutnya, penyertaan JIMBA Finale 2025 adalah antara yang paling menggalakkan sepanjang penganjurannya.
“Sambutan luar biasa itu mencerminkan penerimaan masyarakat terhadap jenama Andalusia di seluruh negara.
“Penganjuran JIMBA juga bertujuan memperkenalkan lebih banyak pakej umrah dan pelancongan, di samping merapatkan hubungan syarikat dengan komuniti setempat di setiap negeri,” katanya.

Pemilihan pemenang cabutan bertuah turut disusun secara strategik agar setiap negeri mempunyai wakil, sekali gus memastikan keterlibatan masyarakat yang lebih menyeluruh.
Pendekatan ini selaras dengan matlamat Andalusia untuk memperkukuh kehadiran dan kepercayaan masyarakat di seluruh pelusuk Malaysia.
Karnival JIMBA adalah inisiatif jangka panjang selama 10 tahun bermula 2025 hingga 2035, dengan ganjaran dan hadiah yang dirancang menjadi semakin menarik serta bernilai dari tahun ke tahun.
Andalusia menyasarkan capaian jemaah sehingga mencecah 80,000 orang menerusi kesinambungan pertandingan JIMBA, yang turut berfungsi sebagai medium untuk menembusi kawasan baharu.

Dalam usaha meningkatkan kemudahan pelanggan, Andalusia turut merancang untuk memperkenalkan kiosk layan diri secara berperingkat bermula tahun 2026.
Kiosk berkenaan akan ditempatkan di lokasi awam terpilih, bermula di Lembah Klang, bagi memudahkan urusan pelanggan termasuk pembelian pakej umrah, pembayaran dan cetakan resit.
Pelancaran awal dijangka seawal suku pertama tahun 2026 selepas fasa ujian di ibu pejabat.
Detik kemenangan pemenang utama turut menjadi perhatian apabila Rakiah Sulaiman, seorang peniaga kecil dari Gua Musang, diumumkan sebagai penerima hadiah kereta BYD Sealion 7.
Tiga orang anaknya yang berada di Kuala Lumpur hadir menyaksikan detik bersejarah itu.
Menurut anaknya, Nur Liyana Othman, mereka tidak menyangka rezeki besar hadir ketika hampir meninggalkan majlis.
Rakiah sendiri pernah menunaikan ibadah umrah sebelum ini, dan kemenangan itu disifatkan sebagai rezeki serta doa yang dimakbulkan.

Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd terus komited untuk memartabatkan perkhidmatan umrah melalui inovasi, keikhlasan dan amanah, demi memastikan setiap perjalanan ibadah menjadi pengalaman yang bermakna serta membawa kebaikan berterusan kepada umat Islam.

