editormaxinfo@gmail.com
Foto Bangsawan Pictures
KUALA LUMPUR – Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu yang lalu sekali lagi membuktikan pengaruh luar biasa kumpulan legenda, KRU, dalam industri muzik tanah air.
Penganjuran konsert kelima mereka di Malaysia pada tahun ini dan keenam secara keseluruhan dalam tempoh enam bulan menjadikannya sebuah pencapaian yang digelar “gamechanger” dalam sejarah hiburan tempatan.
Konsert yang dianjurkan oleh ICON Entertainment ini tercetus daripada permintaan peminat yang tidak pernah surut sejak empat penganjuran terdahulu di Axiata Arena Bukit Jalil mencetuskan fenomena.
Menurut wakil penganjur, Iman Tang, gelombang permintaan tinggi ini menggambarkan perubahan positif dalam trend penganjuran konsert berskala besar di Malaysia, selari dengan perkembangan global yang menyaksikan banyak konsert kini berlangsung lebih daripada sehari.

“Sejak penganjuran pertama pada bulan Mei, kami terus didesak untuk membawa KRU kembali ke pentas. Permintaan peminat menjadi faktor utama yang melahirkan The Finale One More Time.
“Trend penganjuran konsert berulang atas permintaan kini semakin meningkat, bukan hanya di pentas antarabangsa tetapi juga di Malaysia,” kata Iman.
Konsert bertemakan fesyen era 90-an ini berjaya menarik lebih 12,000 penonton, menjadikan Stadium Hoki Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan dan nostalgia peminat setia kumpulan itu.
Ia sekali lagi membuktikan bahawa jenama besar KRU masih relevan dan terus diminati pelbagai lapisan usia.

Malam penuh nostalgia itu dibuka dengan overture istimewa sebelum trio Norman, Yusry dan Edry menghidupkan pentas dengan rangkaian hit mereka seperti “Awas”, “Voodoo”, “Intifada”, “Fanatik” dan “Terhangat Di Pasaran”.
Deretan lagu yang dibawakan termasuk lebih 20 buah karya ikonik membuatkan penonton tidak putus-putus menyanyi bersama sepanjang persembahan.
Salah satu momen paling mencuri tumpuan ialah kemunculan kumpulan nasyid tersohor, Rabbani, sebagai artis jemputan untuk membawakan lagu “Intifada”, hasil ciptaan Edry sendiri.
Kehadiran mereka menggegarkan stadium dan memberikan suntikan emosi yang kuat kepada persembahan berkenaan.

Tidak ketinggalan, bekas artis naungan KRU, Juliana Banos, kembali ke pentas selepas sekian lama menyepi untuk berduet bersama Edry menerusi lagu hit “Sehidup Semati”.
Vokal matang Juliana mendapat sorakan gemuruh penonton yang merindui kehadirannya.
Segmen khas turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan seperti Elite, Adam AF, Dina Nadzir, Leona, Dato’ Seri Vida, serta Nine dari Phyne Ballerz.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan spontan bos Radio ERA, Oney, yang tampil sebagai DJ ketika Norman menyampaikan segmen rap Mc Normy menjadikan suasana lebih meriah dengan elemen kejutan yang tidak diduga.

Di akhir persembahan, Norman berkongsi keadaan kesihatan bapanya, Abdul Halim Kamal, yang kini dirawat di hospital.
Namun, komitmen beliau terhadap konsert dan peminat tetap diteruskan walaupun harus berulang-alik antara hospital dan latihan.
Dedikasi ini disambut penuh penghargaan oleh peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan KRU sejak awal penubuhan mereka.

Dengan sambutan luar biasa serta kejayaan enam konsert dalam setengah tahun, GenKRU The Finale One More Time bakal tercatat sebagai salah satu detik paling bersejarah dalam industri hiburan Malaysia mengukuhkan lagi status KRU sebagai kumpulan legenda yang terus relevan dan mampu memukau generasi demi generasi.

