28.2 C
Kuala Lumpur
Monday, October 13, 2025

Tidur lama selepas makan ubat tidak menyembuhkan: Dr Afif bongkar mitos kesihatan Influenza A

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persepsi bahawa tidur berpanjangan selepas mengambil ubat adalah kaedah terbaik untuk pulih daripada penyakit sebenarnya adalah satu mitos yang perlu diperbetulkan.

Menurut pakar perubatan dan penceramah kesihatan, Dr Afif Mohd Ridzwan, amalan itu bukan sahaja tidak membantu proses penyembuhan, malah boleh melemahkan sistem tubuh dan melambatkan proses pemulihan, terutamanya bagi penghidap demam Influenza A yang kini semakin menular dalam kalangan masyarakat.

Dalam satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok rasminya, Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, berkata tubuh manusia memerlukan pergerakan aktif serta keperluan asas seperti makanan berzat dan air mencukupi bagi membantu sistem imun melawan jangkitan.

Katanya, tidur terlalu lama, khususnya pada waktu siang, hanya akan menyebabkan tubuh menjadi lemah dan kekurangan nutrien penting.

“Kalau kita sakit, sebenarnya tak boleh terlalu banyak tidur siang. Tidur yang berlebihan tidak akan membantu mengeluarkan kuman atau virus daripada badan.

“Sebaliknya, kita perlu pastikan badan cukup rehat pada waktu malam, tetapi pada siang hari kita perlu bergerak agar tubuh kekal aktif dan boleh melawan penyakit,” katanya.

Menurutnya, virus Influenza A membiak dalam darah dan hanya boleh dikeluarkan daripada badan melalui proses perkumuhan semula jadi iaitu melalui peluh, urin dan najis.

Justeru, individu yang dijangkiti perlu banyak minum air, mengambil makanan berkhasiat serta melakukan aktiviti fizikal ringan bagi merangsang proses penyembuhan.

“Allah kurniakan kepada kita tiga organ utama perkumuhan kulit, usus dan buah pinggang. Jadi kita perlu berusaha untuk berpeluh, kencing dan membuang, agar virus dapat dikeluarkan secara semula jadi.

“Jika kita hanya tidur, bagaimana nak capai semua itu? Sebab itu penting untuk makan, minum dan bergerak setakat yang mampu,” katanya lagi.

Dr Afif turut mengesyorkan pengambilan makanan seperti air kelapa, barli, sup sayur dan sup tulang, yang bukan sahaja memberikan hidrasi, tetapi juga membantu melancarkan proses perkumuhan, seterusnya menyokong sistem imun tubuh.

Tambahnya, tidak makan ketika sakit juga adalah satu kesilapan besar kerana ia boleh menyebabkan kecederaan usus yang mungkin membawa komplikasi lebih serius, termasuk risiko kematian.

Dalam pada itu, Dr Afif turut menegaskan kepercayaan bahawa tidur semata-mata mampu menyembuhkan penyakit boleh menjerumuskan seseorang kepada kepercayaan khurafat jika tidak disertai dengan usaha dan tawakal yang sepatutnya.

“Kalau kita terlalu percaya bahawa tidur boleh menyembuhkan penyakit tanpa usaha lain, ia boleh membawa kepada syirik.

“Kita perlu berikhtiar, ambil ubat sebagai usaha, tetapi dalam masa yang sama teruskan minum air, makan, bergerak.

“Jangan hanya bergantung kepada tidur,” katanya sambil menekankan tidur sebentar sekadar 20 hingga 30 minit pada siang hari masih dibenarkan, tetapi bukan sepanjang hari.

Sebagai makluman, Influenza A adalah sejenis jangkitan virus pernafasan yang lebih serius daripada selsema biasa.

Ia boleh menyebabkan simptom seperti demam tinggi, batuk, sakit badan, sakit kepala dan keletihan melampau.

Golongan seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun lemah lebih berisiko mengalami komplikasi jika tidak dirawat dengan segera.

Antara langkah pencegahan berkesan termasuklah mencuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka, mengelakkan tempat sesak, serta mengambil vaksin influenza secara tahunan sebagai perlindungan tambahan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular