editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Canon Marketing Malaysia (Canon) terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran pencetakan mudah alih dengan pelancaran model terbaharu, PIXMA TR160, sebuah pencetak tanpa wayar yang direka khas untuk profesional moden, usahawan dan golongan pekerja bebas yang sentiasa bergerak.
Meneruskan komitmen Canon dalam menggabungkan teknologi dengan gaya hidup masa kini, PIXMA TR160 menawarkan gabungan mobiliti, kemudahan penggunaan dan kualiti cetakan bertaraf profesional sekaligus menjadikannya alat penting untuk individu yang bekerja dari luar pejabat.
Reka Bentuk Kompak untuk Gaya Hidup Dinamik
PIXMA TR160 tampil dengan reka bentuk padat dan ringan, dengan berat kurang daripada 2 kilogram serta dimensi yang membolehkan ia disimpan dengan mudah dalam beg bimbit atau beg kabin.
Ini menjadikan pencetak ini ideal untuk mereka yang sering bertugas di luar pejabat, berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, atau mengamalkan gaya kerja fleksibel.
Ia turut dilengkapi dengan paparan OLED bersaiz 1.44 inci, membolehkan pengguna menyemak status sambungan Wi-Fi, tahap bateri dan menetapkan arahan cetakan dengan lebih mudah dan pantas walau di mana sahaja mereka berada.
Prestasi Tinggi dan Ciri Pintar untuk Produktiviti Maksimum
PIXMA TR160 bukan sekadar pencetak mudah alih biasa. Ia hadir dengan storan memori terbina yang mampu menyimpan sehingga lima templat dokumen kerap digunakan.
Fungsi ini membolehkan cetakan dokumen seperti borang, helaian data atau invois dilakukan secara langsung tanpa perlu disambungkan kepada peranti pintar atau komputer riba.
Lebih menarik, sistem dakwat hibrid 5 warna yang digunakan gabungan dakwat pigmen dan pewarna menjamin hasil cetakan teks yang jelas dan grafik yang terang.
Pengguna boleh mencetak bahan pembentangan atau helaian muka depan bersaiz A4 dengan kualiti yang konsisten dan profesional.
Sokongan Dwi Pengecasan dan Hayat Bateri Cekap
Menepati keperluan mobiliti masa kini, PIXMA TR160 menyokong pengecasan melalui penyesuai AC dan port USB-C.
Dengan hanya 10 minit pengecasan menggunakan penyesuai AC, pengguna boleh mencetak sehingga 36 muka surat, menjadikan pencetak ini rakan kerja yang sentiasa bersedia walau di mana anda berada dari mesyuarat ke mesyuarat atau ketika dalam perjalanan antara bandar.
Cetakan Selamat & Sambungan Fleksibel
Isu keselamatan data dalam persekitaran kerja moden turut diberi perhatian. PIXMA TR160 menyokong sambungan Wi-Fi dwi-jalur (2.4GHz dan 5GHz) serta penyulitan TLS 1.3 untuk memastikan keselamatan data semasa pencetakan tanpa wayar.
Selain itu, pengguna juga boleh mencetak terus dari peranti mudah alih melalui aplikasi Canon PRINT atau menggunakan platform awan tanpa memerlukan sambungan kepada penghala (router) atau komputer.
Harga dan Ketersediaan
Canon PIXMA TR160 akan ditawarkan pada harga RM1,590 dan boleh didapati tidak lama lagi menerusi semua pengedar sah Canon di seluruh negara serta di gedung rasmi Canon Malaysia.
Dengan ciri-ciri inovatif yang mengutamakan kemudahan, keselamatan dan kualiti cetakan, PIXMA TR160 dijangka menjadi pelengkap utama kepada tenaga kerja digital dan mudah alih di Malaysia.


https://shorturl.fm/a41eU
https://shorturl.fm/ISs8z