24.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026

Usahawan peralatan perubatan ungguli pertandingan SAY ASPIRE edisi ke-6

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Memasuki edisi keenam, program SAY ASPIRE memilih peralatan perubatan sebagai pemenang utama pada majlis yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

Program SAY ASPIRE edisi kali ini telah dirangka dengan teliti untuk meningkatkan kapasiti usahawan muda melalui bengkel intensif, sesi mentor dan pertandingan pemberian pitch akhir.

Dengan sokongan kuat daripada MATRADE, bersama rakan penaja seperti Google, App Engage dan bekas juara Dr Anne Skincare Sdn Bhd (DASC), program ini memberi peluang kepada peserta bukan sahaja memperkemas idea perniagaan mereka, tetapi juga mempersiapkan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Separuh daripada peserta program telah melalui dua pusingan penilaian yang ketat. Akhirnya, hanya sepuluh syarikat berjaya mara ke pusingan akhir pembentangan.

Tugas juri akhir diserahkan kepada individu-individu yang berpengalaman dalam bidang perniagaan dan eksport selain Raja Muda Selangor turut terbabit ialah EXCO Keusahawanan negeri dan wakil daripada MATRADE serta syarikat swasta.

Juara pertandingan Drims Trading Sdn Bhd yang membawa pulang hadiah utama, diikuti oleh Gritz Sdn Bhd di tempat kedua dan MTO Resources di tempat ketiga.

Kejayaan Drims Trading dianggap melampaui jangkaan kerana produk inovatif mereka dalam sektor peralatan perubatan bukan sahaja menarik minat juri tetapi turut dianggap mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran ASEAN dan seterusnya ke pasaran global yang lebih luas.

Pengarah Urusan Drims Trading Mohd Haniff Hanizam berkata, walaupun persembahan mereka sudah mantap, soalan-soalan kritikal juri membuka ruang baru untuk memahami keperluan pasaran antarabangsa.

“Melalui platform sebegini, usahawan bukan sahaja memenangi hadiah dari segi kewangan, malah memperoleh ilmu, jaringan dan keyakinan untuk membawa produk keluar negara.

“Selepas kejayaan ini, Drims Trading merancang pengembangan eksport ke negara-negara seperti Filipina, Indonesia, Thailand dan Brunei terlebih dahulu, dengan impian seterusnya ke Timur Tengah termasuk UAE dan Qatar, malah hingga ke pasaran antarabangsa yang lebih jauh seperti Russia.

“Fokus utama kami kini adalah produk sunat yang efisien dan set kit berkenaan adalah antara usaha awal yang dianggap sesuai untuk pasaran pelbagai budaya dan keperluan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY ASPIRE, Aiman Syafiq Nazri berkata, edisi keenam ini menampilkan beberapa pembaharuan penting termasuk kenaikan geran untuk tiga pemenang utama dan pengenalan lawatan pasaran antarabangsa sebagai sebahagian daripada hadiah.

Katanya, program mentoring akan diteruskan selama enam bulan selepas penganugerahan supaya usahawan terus dibimbing dan bukan hanya sekadar diberi pengiktirafan.

“Kesemua pemenang diberikan ruang pameran di Malaysia International Halal Showcase, serta trofi dan sijil penghargaan sebagai simbol pencapaian mereka.

“Jaringan kerjasama dengan agensi relevan turut dibentuk untuk memperkukuh pendigitalan, strategi eksport dan pertumbuhan jangka panjang mereka,” katanya.

Pemilihan Drims Trading sebagai juara mewakili perubahan dalam maklumat dan inovasi dalam SAY ASPIRE, dengan sektor peralatan perubatan mendapat tumpuan yang segar berbanding edisi-edisi lalu.

Aiman berkata, usaha mentransformasi pejabat tempatan menjadi pemain global memerlukan lebih daripada sekadar modal dan ia memerlukan visi, ketahanan dan sokongan di semua peringkat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular