editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Astro Originals sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam menghasilkan karya drama berkualiti dengan memperkenalkan siri terbaharu bertajuk Generasi: Perfect 10.
Drama inspirasi ini mengangkat kisah gadis remaja yang berjuang mengejar impian sebagai atlet gimnastik profesional, sebuah tema yang jarang diketengahkan di televisyen Malaysia.
Siri ini dijadualkan mula ditayangkan pada 19 September 2025, setiap hari Jumaat jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108), serta boleh ditonton lebih awal secara On Demand melalui Astro GO dan aplikasi Sooka.
Sebagai siri bertemakan sukan pertama keluaran Astro Originals, Generasi: Perfect 10 membawa penonton menyelami dunia kompetitif yang penuh cabaran dalam sukan gimnastik profesional.

Siri yang terdiri daripada lapan episod ini mengisahkan tentang Ezie, seorang gadis yang sejak kecil bercita-cita menjadi atlet gimnastik profesional.
Namun, apabila kelab gimnastik di sekolahnya ditutup secara tiba-tiba, Ezie mengambil langkah berani dengan memohon ke akademi sukan paling berprestij di negerinya.
Dari situ bermulalah perjalanan penuh liku yang membawa penonton merasai tekanan emosi, persaingan sengit, perkembangan diri, serta realiti pahit yang dihadapi dalam usaha mengejar impian.
Selain daripada jalan cerita yang menarik, siri ini juga menyentuh pelbagai isu sosial penting seperti pencarian arah hidup, peranan sokongan keluarga dalam membina keyakinan diri, ketabahan wanita dalam mengejar cita-cita dan semangat bersaing untuk mengubah nasib.

Melalui naratif ini, penonton diperlihatkan sisi kemanusiaan dan cabaran yang sebenar dihadapi oleh remaja masa kini, terutama dalam konteks sukan dan pembangunan peribadi.
Generasi: Perfect 10 diarah oleh pengarah terkenal, Sling Ng, dengan showrunner Nas Addina yang memastikan penceritaan bersifat autentik dan menyentuh hati.
Barisan pelakon yang membintangi siri ini terdiri daripada Arena Wan yang memegang watak utama sebagai Ezie, Arabella Ellen sebagai Victoria, Sofia Jane sebagai Coach Sue, Ellyza Azizi sebagai Amal, Daniel Fong sebagai Jun, Sharifah Sakinah sebagai Coach Farah, Qi Razali sebagai Azfar, serta Sherie Merlis sebagai Nazma.
Turut membuat penampilan istimewa adalah legenda atlet negara, Farah Ann, yang turut bertindak sebagai penasihat untuk siri ini.

Penerbit Eksekutif Generasi: Perfect 10, Raja Jastina Raja Arshad, yang juga Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro berkata, siri ini menampilkan naratif yang mendalam mengenai tema kemanusiaan dan sosial, khususnya dalam kalangan gadis remaja yang sedang berjuang mencari identiti dan mengejar impian.
Beliau turut menekankan Astro Shaw berhasrat untuk mengangkat semangat atlet Malaysia serta komuniti yang membentuk mereka melalui karya ini.
“Kami mengharapkan Generasi: Perfect 10 menjadi manifestasi tentang ketahanan dan kuasa transformasi yang mendefinisikan mereka sebagai seorang juara,” katanya.
Siri premium Astro Originals ini turut menampilkan kolaborasi dengan jenama ikonik tempatan, Goodday Charge susu diperkaya pertama di Malaysia yang mengandungi 10 nutrien penting untuk membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan promosi pemasaran bersama, malah turut menyaksikan penempatan produk di dalam siri ini.
Astro Shaw juga menghasilkan sebuah video khas berdurasi 30 saat sebagai sebahagian daripada inisiatif kolaborasi berkenaan.
Generasi: Perfect 10 adalah sebuah karya yang menjanjikan inspirasi dan motivasi kepada penonton, khususnya golongan muda yang sedang berusaha mencari arah dan membina identiti diri dalam dunia yang penuh cabaran.
Untuk maklumat terkini serta klip menarik, penonton boleh mengikuti platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X.