editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Dengan semangat berkobar-kobar dan kepala dihiasi semutar tradisional, ratusan peserta menyertai Program Larian Jejak Warisan Semutar Hungga yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, sebagai sebahagian daripada Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025.
Acara ini bukan sekadar larian biasa, malah menjadi simbol kepada usaha mengangkat budaya tradisional Kelantan ke pentas arus perdana.
Program dimulakan seawal jam 7 pagi dengan acara Senam Seni, sebelum peserta dilepaskan menyertai larian yang dinamakan ‘Hungga’ satu istilah dalam dialek Kelantan yang merujuk kepada semangat atau keghairahan berlari.
Uniknya, setiap peserta mengenakan semutar, iaitu ikatan kain kepala tradisional yang sinonim dengan identiti masyarakat Pantai Timur.
Bagi Muhammad Hasiat Jufri Sani, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor, penyertaannya dalam program ini adalah pengalaman baharu yang amat menyeronokkan.

Bersama sekumpulan rakan sekelas kebanyakannya pelajar dari tingkatan dua dan empat dia menyifatkan penyertaan ini sebagai langkah positif untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan generasi muda.
“Kami datang atas sokongan sekolah dan ini kali pertama saya sertai program sebegini. Seronok sebab dapat merasai aktiviti yang ada elemen budaya dan kebersamaan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Salihah Muhamad Yusof hadir bersama adik dan anak-anaknya.

Mengenakan pakaian tradisional lengkap bersama semutar, dia meluahkan rasa teruja menyertai program yang menggabungkan elemen riadah, warisan dan sambutan kemerdekaan.
“Pertama kali saya sertai program seperti ini dan sangat seronok. Saya harap program sebegini diteruskan, sebab ia bukan sahaja memperkenalkan semula budaya kita kepada anak-anak muda, tetapi juga merapatkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran program ini, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Zameri Mat Nawang berkata, tema Semutar Hungga dipilih sebagai simbol kekuatan dan jati diri budaya masyarakat Kelantan.

“Semutar ini bukan sekadar kain yang diikat di kepala. Ia melambangkan semangat, kreativiti dan identiti masyarakat lama sama ada nelayan, petani atau pemandu kereta lembu.
“Ikatannya juga berbeza mengikut fungsi dan gaya, sama seperti serban,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan semutar dalam program larian ini adalah cara yang kreatif untuk menghidupkan semula budaya lama agar terus dikenali dan dihargai generasi muda.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohamad Muda Bahadin menyifatkan pendekatan santai seperti ini sebagai langkah efektif untuk mendekatkan generasi baharu dengan warisan budaya.

“Bila peserta berlari sambil memakai semutar, mereka bukan sekadar bersenam, tetapi secara tidak langsung meraikan dan menyertai satu bentuk penceritaan budaya.
“Kita tidak mahu warisan hanya kekal di muzium atau di pentas persembahan, sebaliknya mesti hidup dalam aktiviti harian,” katanya.
Beliau berkata, program seperti ini menunjukkan bahawa warisan bukan satu perkara kaku atau lapuk, tetapi boleh dizahirkan dengan cara moden dan mesra anak muda.
Program Larian Jejak Warisan Semutar Hungga adalah antara pengisian utama dalam Festival Cita Rasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang berlangsung selama tiga hari dari 5 hingga 7 September di Stadium Sultan Muhammad IV.

Festival ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan.
Acara kemuncak festival adalah Majlis Perasmian oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan pada malam ini, yang akan disusuli dengan persembahan kebudayaan berlandaskan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.
Festival ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri yang ingin merasai keunikan warisan budaya, makanan tradisional dan seni persembahan Pantai Timur.

Tidak sekadar perayaan budaya, festival ini menjadi platform untuk menyatukan rakyat pelbagai latar belakang dalam menghargai khazanah warisan negara yang tidak ternilai.

