editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Dunia hiburan tanah air bakal menyaksikan gelombang baharu apabila platform pencarian bakat tempatan, SocialCeleb, dilancarkan dengan misi memperkasakan bakat baharu melalui pendekatan teknologi, latihan dan bimbingan profesional secara menyeluruh.
Dibangunkan oleh syarikat telekomunikasi tempatan, Lifetelco, SocialCeleb diperkenalkan sebagai satu inisiatif yang bersifat inklusif dengan objektif utama menyediakan akses sebenar kepada individu berbakat dari seluruh pelosok negara tanpa mengira latar belakang atau lokasi untuk melangkah masuk ke dalam dunia seni dengan lebih yakin dan bersedia.
Platform ini menawarkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi bengkel eksklusif, sesi persembahan langsung serta peluang uji bakat untuk pelbagai produksi filem, drama bersiri dan kandungan penstriman (OTT).
Sebanyak 100 peserta terbaik daripada keseluruhan penyertaan bakal dipilih untuk menyertai produksi sebenar, sekali gus memberi mereka peluang menimba pengalaman profesional awal yang mampu membuka laluan kerjaya dalam industri hiburan.
Pengarah Rangkaian Lifetelco, Saraleana Nattaya Azmi berkata, SocialCeleb adalah manifestasi usaha berterusan untuk menyediakan ruang yang adil dan setara kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki bakat seni tetapi sering terpinggir akibat kekangan seperti jarak, kewangan dan kekurangan rangkaian industri.

“Melalui SocialCeleb, kami bukan sekadar memperkenalkan platform digital.
“Kami menyediakan akses sebenar kepada industri, bimbingan yang tepat, dan kerangka latihan yang mantap. Ini adalah pelaburan dalam potensi rakyat Malaysia satu pelaburan jangka panjang demi masa depan industri hiburan yang lebih lestari dan terbuka,” katanya.
Antara keistimewaan penyertaan termasuk yuran serendah RM110 yang merangkumi kad SIM Lifetelco dengan 110GB data untuk dua bulan, perlindungan insurans kemalangan diri sehingga RM50,000, akses kepada saluran OTT, serta peluang menyertai uji bakat rasmi.
Menariknya, platform ini turut mendapat sokongan daripada nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air.
Antara yang terbabit sebagai Star Mentors termasuk pelakon, pengarah dan penerbit berpengaruh seperti Dato’ Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Dato’ Aaron Aziz.

Turut bersama sebagai wajah penyokong utama atau Star Celebs ialah Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi dan Hubert Lee.
Nabila Huda, yang dikenali sebagai antara figura seni yang lantang menyuarakan isu industri, menyifatkan SocialCeleb sebagai ruang penting yang dinanti-nantikan oleh ramai bakat terpendam.
“Ramai yang ada potensi besar tetapi selama ini tiada akses, tiada jaringan, atau tidak tahu bagaimana untuk mula.
“SocialCeleb bukan sahaja membuka pintu, malah menyediakan laluan yang jelas. Saya di sini bukan sekadar menilai saya mahu membimbing, membantu peserta kenal kekuatan mereka dan membina keyakinan diri,” katanya.

Sementara itu, Aaron Aziz pula menyifatkan penglibatannya sebagai satu tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada industri yang telah membesarkan namanya.
“Kami bukan sekadar mencari pelakon baharu. Apa yang lebih penting ialah membentuk asas kukuh untuk mereka bertahan lama dalam industri ini dari segi bakat, etika kerja dan jati diri sebagai anak seni,” katanya.
Aaron berkata, SocialCeleb bukan sebuah pencarian sensasi semata-mata, tetapi satu proses pembangunan yang sebenar.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Afdlin Shauki yang menekankan pentingnya menyediakan ekosistem yang tersusun untuk pembangunan bakat secara berterusan.

“Ini bukan pertandingan populariti. SocialCeleb diwujudkan untuk mereka yang benar-benar ingin membina masa depan dalam industri ini.
“Dengan gabungan latihan, bimbingan dan pendedahan kepada dunia sebenar produksi, peserta bukan sahaja mengasah bakat, malah belajar memahami realiti industri hiburan secara menyeluruh,” katanya.
Pendaftaran penyertaan bagi SocialCeleb akan dibuka bermula 9 September 2025 menerusi laman rasmi www.social-celeb.com.
Dengan pendekatan yang inovatif dan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak industri, SocialCeleb diyakini bakal menjadi antara platform paling berpengaruh dalam melahirkan generasi baharu anak seni Malaysia yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga bersedia menggalas cabaran dunia hiburan moden.

