25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Piala JAZRO 2025 buka peluang STEM setara, tampilkan potensi luar biasa pelajar luar bandar

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Selepas menjelajah enam wilayah dalam tempoh dua bulan, Piala JAZRO 2025 (JAZRO Cup) akhirnya melabuhkan tirainya dalam satu peringkat akhir kebangsaan yang penuh warna-warni pada 15 Ogos lalu di Rekascape, Cyberjaya.

Pertandingan robotik berskala nasional ini berjaya menghimpunkan 319 pelajar dari lebih 70 buah sekolah, dengan jumlah keseluruhan penyertaan mencecah 1,200 pelajar daripada 143 sekolah seluruh negara termasuk 87 buah sekolah luar bandar, merangkumi 61.5 peratus jumlah keseluruhan peserta.

Dianjurkan oleh JAZRO Robotic Academy, edisi sulung ini bukan sekadar sebuah pertandingan biasa. Ia menjadi medium penting dalam merapatkan jurang pendidikan STEM antara pelajar bandar dan luar bandar, membuktikan bahawa dengan peluang dan bimbingan yang sama rata, pelajar dari pelbagai latar belakang mampu mengembangkan potensi dalam bidang teknologi dan inovasi.

Pertandingan yang membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah ini menawarkan dua kategori utama iaitu pengekodan (coding) dan tanpa kod (no-code).

Penyertaan yang seimbang antara pasukan dari sekolah berpengalaman di bandar serta sekolah luar bandar menjadi cerminan kepada keterbukaan dan kesaksamaan platform ini dalam melahirkan bakat baharu dalam ekosistem teknologi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, penganjuran Piala JAZRO adalah lebih daripada sekadar acara pertandingan.

Ia menjadi pentas membentuk ekosistem pendidikan masa depan yang inklusif dan berinovasi.

“JAZRO Cup bukan sekadar pertandingan, ia adalah platform peluang saksama.

“Apabila pelajar luar bandar dan bandar berada dalam satu platform, bersaing dengan semangat dan kreativiti yang sama, memang terasa bahawa kita sedang membina generasi masa depan ekosistem berinovasi Malaysia. Itulah pengalaman kami,” katanya.

Peringkat akhir kebangsaan turut menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada pasukan-pasukan yang menonjol.

Antaranya, Coding Genius Award diberikan kepada gabungan pasukan luar bandar dari SM Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Kuala Selangor, yang menunjukkan kemahiran pengaturcaraan luar biasa serta keupayaan menyelesaikan masalah secara cekap.

Sementara itu, Gobi Innovator Award dianugerahkan kepada pasukan SMK Seksyen 5 Wangsa Maju, Kuala Lumpur, yang bukan sahaja berjaya memprogram robot kompleks dengan baik, malah mampu menjelaskan logik dan strategi pengkodan mereka dengan jelas dan penuh keyakinan menonjolkan kefahaman mendalam serta inovasi sebenar.

Kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Selain itu, pemenang bagi kategori utama seperti Roboblitz, Blazebot, Robot Combat, Byte Droid, Storm Code, dan Game of Drone Mission turut menerima pengiktirafan, menjadikan acara ini satu pentas pengiktirafan komprehensif bagi pelbagai kebolehan pelajar dalam bidang robotik dan teknologi.

Penganjuran Piala JAZRO 2025 turut menerima sokongan kuat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, selain kerjasama strategik bersama rakan penaja dan penganjur seperti Muslim Pro/Bitsmedia, Spritzer, MyDigital, Petrosains dan Yayasan MR DIY.

Gabungan pelbagai pihak ini menjadikan JAZRO Cup bukan sahaja sebagai pertandingan robotik, tetapi sebuah gerakan nasional yang memberi inspirasi dan dorongan kepada generasi peneraju teknologi masa depan.

Dengan kejayaan penganjuran sulung ini, JAZRO Cup meletakkan asas kukuh untuk menjadi satu program tahunan bertaraf kebangsaan dalam memperkasa pendidikan STEM secara holistik, sekaligus menyediakan landasan saksama untuk bakat muda Malaysia bersinar di pentas global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular