29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026

Piala JAZRO 2025 perkukuh usaha sektor awam dan swasta menerusi pendidikan robotik di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Semangat kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkasa pendidikan teknologi diterjemahkan menerusi sokongan padu terhadap Piala JAZRO 2025, sebuah pertandingan robotik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

Anjuran JAZRO Robotic Academy, pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan pengembangan bakat dalam bidang robotik dan pengekodan, malah turut berperanan sebagai pemangkin kepada penyertaan inklusif pelajar dari pelbagai latar belakang geografi dan sosioekonomi.

Dengan sokongan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, Piala JAZRO 2025 menerima penajaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Cyberview, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui inisiatif MyDigitalMaker, MRANTI, Petrosains serta PETRONAS Innovation Garage (PING).

Tidak ketinggalan, beberapa syarikat swasta turut menyumbang, antaranya Muslim Pro dan Yayasan Mr DIY, manakala Gobi Partners, pelabur utama JAZRO, tampil sebagai penaja utama pertandingan.

Pertandingan yang bermula sejak awal Julai ini telah berjaya menarik penyertaan 1,138 pelajar dari 141 sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 656 peserta datang dari kawasan bandar, manakala 482 lagi adalah pelajar dari sekolah luar bandar satu petanda positif terhadap matlamat jangka panjang JAZRO untuk merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO Robotic Academy, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pihaknya teruja terhadap sambutan luar biasa yang diterima.

Menurutnya, penglibatan sektor awam dan swasta dalam mendukung pertandingan ini mencerminkan komitmen bersama untuk melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan yang dipacu teknologi.

“Dengan lebih 1,100 pelajar dari seluruh negara mengambil bahagian, kami amat berbangga melihat Piala JAZRO berkembang menjadi sebuah platform pendidikan yang benar-benar inklusif.

“Ia bukan sekadar tentang pertandingan, tetapi ruang pembinaan karakter, daya cipta dan semangat inovasi dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Muslim Pro, salah satu penaja sektor swasta, melihat penglibatan mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab memperkasa pendidikan peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muslim Pro, Nafees Khundker berkata, ilmu pengetahuan dan nilai kepercayaan tidak harus dipisahkan dalam membentuk generasi akan datang.

“Kami percaya bahawa sains dan kepercayaan bukanlah jalan yang berasingan, malah saling melengkapi.

“Menyokong platform seperti JAZRO yang membuka peluang kepada minda muda untuk menerokai bidang STEM dan robotik adalah selari dengan nilai kami dalam memupuk rasa ingin tahu, pengetahuan dan inovasi yang bermanfaat,” katanya.

Piala JAZRO 2025 meliputi enam wilayah utama iaitu Sabah, Sarawak, Pantai Timur, Utara, Selatan dan Tengah, dengan dua kategori utama dipertandingkan; pengekodan dan bukan pengekodan.

Kemuncak acara akan berlangsung dalam Grand Finale peringkat kebangsaan pada 15 Ogos 2025 di Rekascape, Cyberjaya, di mana inovator muda terbaik negara akan bersaing untuk merebut gelaran tertinggi.

Dengan pendekatan yang menyeluruh dan sokongan pelbagai pihak, Piala JAZRO bukan sahaja memperkukuh usaha pendidikan STEM di Malaysia, malah membuktikan bahawa pelaburan dalam ilmu pengetahuan merupakan satu langkah strategik dalam membentuk masa depan negara yang lebih cerah dan berdaya saing.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular