editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah kebangkitan kesedaran tentang kesejahteraan hidup di rantau Asia Pasifik, penggunaan produk semula jadi termasuk makanan tambahan atau suplemen terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Ramai yang tertarik dengan label “semula jadi” kerana kaitannya dengan alam semula jadi serta andaian bahawa produk tanpa ramuan sintetik semestinya lebih selamat dan berkesan. Namun, sejauh manakah persepsi ini benar?
Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik di Herbalife, Alex Teo berkata, kecenderungan terhadap makanan tambahan semula jadi bukanlah sesuatu yang asing, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Di negara ini, penggunaan produk farmaseutikal, herba tradisional dan pelbagai jenis suplemen menjadi rutin dalam usaha mengekalkan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan diri.
Namun, beliau menegaskan bahawa tidak semua produk kesihatan yang berlabel “semula jadi” dijamin selamat, apatah lagi apabila sesetengahnya dijual tanpa kelulusan rasmi atau ujian keberkesanan yang ketat.
Meskipun makanan tambahan semula jadi dilihat sebagai alternatif yang lebih ‘lembut’ berbanding ubat-ubatan moden, hakikatnya penggunaan tanpa panduan boleh membawa risiko kesihatan.
Sesetengah ramuan herba boleh menyebabkan interaksi negatif dengan ubat preskripsi atau membawa kesan sampingan serius jika diambil secara berlebihan.
Sebagai contoh, akar manis yang sering digunakan dalam perubatan tradisional diketahui mempunyai ciri menenangkan, tetapi jika diambil dalam dos tinggi, ia boleh menyebabkan tekanan darah meningkat dan ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.

“Label ‘semula jadi’ tidak semestinya bermakna ia selamat atau sesuai untuk semua orang.
“Sebatian aktif dalam ramuan herba, walaupun berasal dari alam, tetap berfungsi seperti bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada tubuh baik atau buruk bergantung kepada dos, cara pengambilan dan kesesuaian dengan tubuh seseorang,” katanya.
Sebaliknya, suplemen sintetik pula diformulasikan untuk menyerupai sebatian semula jadi tetapi dengan ketepatan dos dan kawalan kualiti yang lebih konsisten.
Produk seperti ini biasanya menjalani ujian makmal yang teliti dan kajian klinikal bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna.
Dalam perdebatan antara suplemen semula jadi dan sintetik, aspek paling penting bukanlah sumber bahan, tetapi pendekatan saintifik terhadap pembuatan dan penggunaannya.
Malangnya, terdapat beberapa salah faham umum yang sering membayangi pemahaman masyarakat tentang makanan tambahan.
Antara mitos yang perlu dileraikan termasuklah tanggapan bahawa semua produk semula jadi pasti selamat, boleh diambil dalam kuantiti tidak terhad, atau mampu menggantikan ubat-ubatan moden secara menyeluruh.
Tanggapan ini bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi membahayakan kesihatan jika pengguna tidak mendapatkan nasihat daripada profesional perubatan terlebih dahulu.
Tinjauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa hampir 32 peratus rakyat Malaysia tidak sedar akan kemungkinan interaksi antara ubat moden dan ramuan tradisional.
Kealpaan ini boleh menyebabkan pengambilan suplemen yang bercanggah dengan rawatan perubatan sedia ada, sekali gus menjejaskan keberkesanan rawatan atau menyebabkan komplikasi kesihatan.
Lebih membimbangkan, ada juga yang menganggap makanan tambahan boleh menggantikan diet seimbang.
Realitinya, tiada suplemen yang mampu menandingi nilai pemakanan daripada makanan sebenar yang lengkap dan pelbagai.

Makanan tambahan hanya berfungsi sebagai pelengkap kepada gaya hidup sihat bukan pengganti.
Alex Teo menyarankan pengguna sentiasa membuat pilihan berdasarkan bukti saintifik dan pengesahan pihak ketiga.
Produk suplemen yang berkualiti biasanya menjalani ujian ketat dan mempunyai pensijilan yang menjamin keselamatan serta keberkesanannya.
Beliau juga menegaskan kepentingan rundingan bersama pakar kesihatan sebelum memulakan sebarang pengambilan makanan tambahan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang menjalani rawatan atau mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Dengan lambakan produk kesihatan di pasaran hari ini, pengguna diseru agar tidak hanya terpesona dengan label “semula jadi”, tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada kualiti formulasi, ketelusan pengeluar dan bukti saintifik yang menyokong keberkesanan produk berkenaan.
“Memilih makanan tambahan bukanlah soal trend semata-mata, tetapi keputusan yang perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan ilmu.
“Sama ada semula jadi atau sintetik, yang paling penting ialah memastikan produk itu benar-benar memberi manfaat kepada kesihatan kita dalam jangka masa panjang,” katanya.


https://shorturl.fm/V5ni8
https://shorturl.fm/meh1F