30.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

“Tiga Abdul La!”, tiga pelawak popular cabar diri dalam program realiti ikhtiar hidup

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tiga pelawak tanah air bersedia meninggalkan zon selesa mereka demi menyahut cabaran aktiviti ikhtiar hidup dalam sebuah program realiti terbaharu terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjudul “Tiga Abdul La!”.

Program ini yang menampilkan pendekatan segar dan mencuit hati, bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam menerusi saluran Okey dan platform penstriman RTMKlik.

Menampilkan trio pelawak terkenal iaitu Atu daripada kumpulan Zero, Joe Aziz dan Dewa dari kumpulan Arteh,Tiga Abdul La! membawa penonton mengikuti pelbagai cabaran ikhtiar hidup di lokasi-lokasi unik merentas pelbagai pelosok negara, termasuk keindahan alam semula jadi Sabah dan Sarawak.

Dengan 13 episod kesemuanya, setiap minggu turut menyaksikan kehadiran artis jemputan berbeza yang sama-sama menyertai cabaran, antaranya Saiful (Zero), Mek Yun, Amy Dangin, John Bear, Dayana Roza, Amerul Affendi, Apiz Paschya, Kween Keela, Ebi Kornelis, Kimberly Chuah, Shamsul Danish dan Michelle Lungan.

Program ini bukan sahaja menghiburkan, malah turut membawa mesej mendalam bersempena sambutan Hari Kebangsaan dengan mengetengahkan elemen kebudayaan dan kelangsungan hidup yang sinonim dengan pelbagai komuniti di Malaysia.

Aktiviti yang dilaksanakan di setiap episod menuntut kerjasama, kreativiti serta keberanian para peserta dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Antara cabaran yang dilalui termasuklah membina peralatan menangkap ikan seperti pancing dan bubu menggunakan bahan-bahan asas, diikuti dengan tugasan memasak hasil tangkapan mereka mengikut menu khas.

Bagi menambah kesukaran, pembelian bahan masakan turut dihadkan dari segi kos bagi menguji tahap kreativiti masing-masing dalam menyediakan hidangan.

Antara momen menarik dalam episod awal termasuklah penyertaan pempengaruh popular berketurunan Cina dari Kelantan, Mek Yun.

Dalam episod kedua, beliau bersama trio pelawak ditugaskan memancing ikan sasaran di kawasan parit sawah sambil mencari umpan secara semula jadi.

Dengan pengalaman hampir sifar dalam aktiviti sedemikian, cabaran ini pastinya menjadi pengalaman luar biasa buat mereka.

Seterusnya, penyanyi kumpulan Budak Nakal Hujung Simpang, John Bear, menyertai misi memburu ikan Baung menggunakan joran buatan tangan dan umpan ikan tapa yang berbau busuk.

Kejayaan mereka bergantung kepada ketahanan mental dan fizikal dalam menyempurnakan tugasan ini.

Cabaran turut menjadi semakin mencabar apabila pelakon Dayana Roza menyertai sesi memancing di laut terbuka.

Namun keadaan laut yang sedikit bergelora menyebabkan seorang ahli pasukan mengalami mabuk laut, menambah kesukaran misi mereka.

Dalam episod lain, pelakon serba boleh Amerul Affendi menyertai pasukan hos untuk misi menangkap udang, menggunakan pancing buatan sendiri dan bot yang dikongsi bersama pasukan lawan.

Ini diikuti dengan kemunculan pelakon muda Kimberly Chuah dalam episod yang membawa mereka ke Sungai Rompin, Pahang untuk cabaran memancing dan memasak di tengah hutan.

Program Tiga Abdul La! telah memulakan siaran sejak 3 Ogos lalu dengan episod pengenalan yang memberi gambaran keseluruhan tentang dinamika dan semangat kerjasama antara hos dan selebriti jemputan.

Didorong oleh semangat humor dan pengembaraan, program ini menjanjikan hiburan yang sarat dengan nilai murni dan elemen pendidikan tentang kehidupan luar bandar dan survival.

Penonton dijemput untuk terus mengikuti siri ini setiap minggu di saluran Okey dan RTMKlik, bagi menyaksikan bagaimana gelagat tiga pelawak ini menghadapi pelbagai cabaran hidup sebenar jauh dari pentas lawak, tetapi tetap dengan gaya bersahaja yang mencuit hati.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular