editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pavilion Bukit Jalil baru sahaja melabuhkan tirai acara Pavilion x JAGAM Matsuri, sebuah festival kebudayaan yang berjaya menarik ribuan pengunjung dari 30 Julai hingga 3 Ogos 2025.
Berlangsung selama lima hari, acara ini dianjurkan dengan kerjasama Japan Graduates’ Association of Malaysia (JAGAM) dan telah mengubah pusat beli-belah itu menjadi medan perayaan ala festival jalanan Jepun yang penuh warna-warni dan meriah.
Festival ini bukan sahaja membawa pengunjung menyelami keunikan budaya Jepun, malah membuktikan bahawa Pavilion Bukit Jalil kini berperanan lebih daripada sekadar destinasi membeli-belah sebaliknya berkembang menjadi pusat penemuan budaya dan pengalaman komuniti yang bersifat inklusif.

Suasana di pusat beli-belah tersebut berubah menjadi seolah-olah berada di tengah-tengah perayaan Bon Odori di Jepun, lengkap dengan persembahan tarian tradisional, gerai makanan jalanan yang menggamit selera, serta pengalaman interaktif yang membolehkan pengunjung menyusuri warisan dan estetika budaya Jepun secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd., Dato’ Joyce Yap berkata, sambutan hangat terhadap festival ini mencerminkan semangat perpaduan yang terjalin melalui penghargaan terhadap warisan budaya.
“Pavilion x JAGAM Matsuri adalah satu sambutan budaya yang penuh kegembiraan, mempertemukan pelbagai lapisan masyarakat daripada keluarga dan pencinta budaya hinggalah kepada generasi muda.
“Dengan sokongan JAGAM dan Kedutaan Jepun, kami telah menjadikan Pavilion Bukit Jalil sebagai pentas meriah untuk pertukaran budaya rentas negara,” katanya.

Selain persembahan kebudayaan, festival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan yang memikat perhatian pengunjung, antaranya pameran bonsai yang menawan, ruang paparan automotif Jepun, serta pasar khas yang menjual makanan dan kraftangan asli dari Jepun.
Untuk menambah kemeriahan, pengunjung turut dihargai dengan cenderamata istimewa seperti beg tote BUKIT JALIL TSUTAYA BOOKS serta baucar tunai dalam tempoh terhad, menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna.
Sambutan luar biasa terhadap acara ini turut mengukuhkan kedudukan Pavilion Bukit Jalil sebagai pusat gaya hidup yang bukan hanya fokus kepada runcit, tetapi turut berfungsi sebagai tapak sambutan pelbagai budaya global yang merapatkan hubungan antara komuniti.

Sepanjang festival berlangsung, pemandangan pengunjung yang menikmati persembahan secara bersama-sama dan meneroka kekayaan budaya Jepun telah menjadikan lawatan biasa ke pusat beli-belah ini sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Seiring penutupan tirai Pavilion x JAGAM Matsuri, pihak pengurusan Pavilion Bukit Jalil menyatakan komitmen mereka untuk terus menganjurkan acara-acara budaya antarabangsa pada masa akan datang.
Selaras dengan semangat “Together.Here.”, Pavilion Bukit Jalil berazam untuk terus menjadi destinasi yang menyatukan pelbagai komuniti menerusi perkongsian cerita, sambutan budaya dan hubungan yang bermakna.


