26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 26, 2026

KKM lancar Operasi Selamat Paru-Paru bermula Jumaat ini

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) bermula Jumaat ini sebagai langkah bersepadu untuk menangani ancaman produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.

KKM dalam satu kenyataan berkata, operasi berkenaan akan membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), pihak berkuasa tempatan (PBT), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut KKM, Ops Selamat PaPa bertujuan memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara berkesan bagi mewujudkan persekitaran negara yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman produk merokok.

Pada masa sama, kementerian itu memaklumkan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] diteruskan dengan penuh komitmen.

“Akta ini merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan penjualan serta larangan merokok di kawasan larangan,” katanya.

KKM turut menyambut baik tindakan enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang telah membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri masing-masing.

Langkah itu adalah selari dengan aspirasi nasional untuk melindungi kesihatan awam daripada ancaman produk merokok.

Bagaimanapun, kawalan sedia ada masih terhad kepada jenis premis tertentu dan belum mencakupi semua saluran penjualan seperti kedai runcit atau serbaneka.

“Bagi mencapai kawalan menyeluruh ke arah pengharaman sepenuhnya, ia masih tertakluk kepada kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sebagai langkah awal, Mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran Rokok Elektronik atau Vape telah diadakan pada 22 Julai 2025 bagi meneliti strategi pengawalan yang lebih ketat dan mencadangkan kajian mendalam terhadap implikasi pengharaman.

窗体底端

KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan (MOF), KPDN, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Jabatan Peguam Negara bagi meneliti semua aspek berkaitan isu ini.

“KKM menyeru semua pihak termasuk kerajaan, agensi penguat kuasa, NGO dan masyarakat untuk menyokong serta memperkukuh usaha ini demi melindungi kesihatan generasi kini dan akan datang sejajar dengan aspirasi nilai Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan serta Agenda Negara Malaysia Sihat (ANMS),” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan di Dewan Rakyat kementerian itu sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik bagi mengekang isu berkenaan dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular