editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi kepada sebuah acara muzik mega apabila “Latihan Pestapora Malaysia 2025” berjaya menghimpunkan lebih 25,000 peminat muzik dari seluruh Malaysia dan negara jiran, Indonesia, dalam satu malam penuh warna-warni, emosi dan kebersamaan.
Festival ini dianjurkan oleh dua nama besar dalam industri hiburan iaitu Hitman Solutions dan Boss Creator sebagai edisi pemanas badan menjelang acara utama Pestapora Jakarta yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 7 September 2025.
Namun, apa yang digambarkan sebagai “latihan” ini nyata melangkaui jangkaan apabila ia berubah menjadi medan perayaan muzik serantau berskala penuh.

Menggabungkan lebih 25 persembahan langsung di dua pentas utama “Main Stage” dan “Hingar Bingar”, festival ini mengetengahkan kepelbagaian genre muzik merentas sempadan, daripada pop, rock dan hip-hop hingga ke indie dan dangdut.
Antara nama-nama besar yang tampil termasuklah Sheila On 7, .Feast, Hindia, Nadin Amizah, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Bittersweet, Bunkface, Dolla, Pamungkas, Kunto Aji, Salammusik dan ramai lagi.
Detik paling dinantikan pastinya kemunculan semula kumpulan ikonik dari Indonesia, Sheila On 7, yang membuat persembahan sulung mereka di Malaysia selepas lebih sedekad menyepi.

Sorakan gemuruh bergema sebaik sahaja alunan lagu pembukaan dimainkan, menandakan betapa eratnya hubungan kumpulan berkenaan dengan peminat di Malaysia.
Lagu-lagu malar segar seperti Dan, Melompat Lebih Tinggi, Sephia dan Sahabat Sejati dinyanyikan bersama ribuan penonton, mencipta suasana penuh emosi dan nostalgia yang sukar dilupakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, kejayaan penganjuran festival ini bukan sahaja satu pencapaian dari sudut produksi, tetapi juga lambang pencapaian budaya yang signifikan.

“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah bukti bahawa kita mampu menjadi tuan rumah kepada festival bertaraf antarabangsa.
“Ia membuka ruang untuk rakyat tempatan dan pengunjung luar negara menikmati pengalaman muzik yang unik di tanah air sendiri,” katanya.
Rohit berkata, penganjuran membabitkan koordinasi kompleks lebih 25 artis dari dua negara, namun kesemua cabaran itu berjaya diatasi melalui kerjasama pasukan dan sokongan padu daripada rakan strategik.

Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora merangkap Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup berkata, acara ini adalah sebuah gerakan budaya yang penting dalam memperkukuhkan hubungan serantau.
“Kami sedar ramai peminat dari Malaysia sanggup ke Jakarta setiap tahun untuk menyertai Pestapora.
“Kini tiba masanya kami bawa sebahagian daripada magis itu ke sini, agar rakyat Malaysia dapat merasai pengalaman yang sama.
“Ini bukan sekadar konsert ia adalah tentang membina komuniti dan menyemarakkan semangat serumpun,” katanya.

Berbeza dengan edisi asal di Jakarta, Latihan Pestapora Malaysia 2025 menampilkan sentuhan tempatan yang jelas daripada pemilihan artis tempatan, kehadiran vendor makanan tempatan, hingga ke aktiviti interaktif serta ruang bergambar yang mesra pengunjung dari semua lapisan umur.
Melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima, penganjur kini menyatakan hasrat untuk menjadikan Latihan Pestapora sebagai acara tahunan tetap di Malaysia, sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk kolaborasi rentas budaya dan industri kreatif antara dua negara serumpun.

“Ini baru permulaan. Kami yakin dengan sokongan yang diberikan, festival ini mampu berkembang lebih besar dan memberi impak lebih mendalam kepada peminat dan industri muzik serantau,” kata Rohit lagi.
Penganjuran festival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, Universal Music Malaysia, serta rakan media dan penaja rasmi seperti Era FM, Sinar FM, Hitz FM, Mix FM, THR Gegar, Syok, World of Buzz, Lobak Merah, Tapau, Batik Air, Book Cabin, D’Mart Travel Tour dan Sunway Putra Hotel.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 membuktikan bahawa muzik bukan sahaja medium hiburan, malah jambatan yang menghubungkan budaya, semangat dan jiwa dua negara serumpun dalam satu perayaan bersama yang tidak akan dilupakan.


https://shorturl.fm/pUzae
https://shorturl.fm/gJ5HP