27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026

Filem ‘Munajjim: Sekutu Iblis’ papar kesan hitam amalan syirik dalam masyarakat moden

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Genre seram terus menjadi antara pilihan utama penggemar filem tempatan dan kali ini, karya terbaharu berjudul Munajjim: Sekutu Iblis bakal mencabar minda serta menggetarkan jiwa penonton dengan jalan cerita yang sarat dengan elemen mistik, kepercayaan karut serta amalan ilmu hitam yang masih wujud dalam kalangan masyarakat hari ini.

Diterbitkan oleh Yusrych Global Sdn. Bhd., filem ini bukan sekadar menghidangkan keseraman semata-mata, tetapi turut membawa mesej mendalam mengenai kesan syirik dan pengkhianatan akidah yang berpunca daripada kebergantungan kepada amalan khurafat.

Penerbit filem, Yusry Makmor berkata, naskhah ini diinspirasikan daripada kisah benar yang menggambarkan realiti segelintir masyarakat moden yang masih mencari jalan singkat melalui bomoh dan ilmu hitam untuk menyelesaikan masalah kehidupan.

“Ini bukan sekadar filem seram biasa. Ia membawa penonton melihat sisi gelap kehidupan apabila manusia sanggup bersekutu dengan iblis demi kepentingan diri sendiri.

“Kami mahu menyampaikan mesej jelas bahawa amalan seperti ini bukan sahaja sesat, malah membawa kemusnahan kepada individu dan keluarga,” katanya.

Munajjim: Sekutu Iblis mengisahkan tentang sebuah keluarga yang terlalu taksub dengan khidmat bomoh, sehingga terjerumus dalam dunia syirik dan pengaruh makhluk halus.

Cerita bertambah dramatik apabila si anak menggunakan sihir untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang telah mengganggu rumah tangga mereka.

Namun, ilmu hitam yang diamalkan itu akhirnya berpaling arah, lalu mengancam nyawa seluruh ahli keluarga.

Filem ini mengetengahkan unsur seram yang tidak klise, apabila ‘pendamping’ yang muncul bukan hanya sekadar hantu biasa, tetapi jelmaan jin dan entiti ghaib yang bersekutu dengan manusia untuk menyesatkan akidah mereka.

Sementara itu, sutradara Faizul A. Rashid berkata, pendekatan filem ini jauh berbeza daripada kebanyakan filem seram tempatan yang sering bergantung pada watak-watak stereotaip seperti pontianak atau pocong.

“Filem ini menawarkan keseraman yang lebih mendalam, dibina dengan jalan cerita yang kuat, visual sinematik dan mesej yang membawa kesedaran.

“Kami mahu penonton bukan hanya takut, tetapi juga berfikir tentang bahaya amalan khurafat yang masih berlaku dalam masyarakat kita hari ini,” katanya.

Menambah kekuatan penceritaan, Munajjim: Sekutu Iblis turut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherry Merlis serta pelakon muda Daniel Aqil.

Penggambaran dijalankan sekitar Januari 2025 di beberapa lokasi terpilih di Selangor, dengan idea asal ditulis bersama oleh Yusry Makmor, Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa.

Filem ini turut mendapat kerjasama daripada TGV Pictures dan akan diedarkan secara meluas oleh D’Ayu Pictures, dengan sokongan promosi daripada Empire Solutions.

Ia dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 31 Julai 2025.

Munajjim: Sekutu Iblis menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu pengalaman sinematik yang memberi kesedaran tentang bahaya kebergantungan kepada amalan syirik.

Filem ini mengajak penonton untuk menilai kembali sejauh mana kepercayaan boleh mempengaruhi tindakan, dan bagaimana kesilapan memilih jalan yang salah boleh membawa padah yang tidak terduga.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular