editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah lagi naskhah menyentuh hati bakal menemui penonton setia slot Tiara menerusi saluran Astro Prima apabila drama bersiri Di Sebalik Reda mula ditayangkan sejak 30 Jun 2025.
Mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan dan reda dalam kehidupan berkeluarga, drama 30 episod ini menjanjikan konflik emosi yang sarat dengan dilema antara adik-beradik, cinta dan tanggungjawab.
Diterbitkan oleh Siti Rozmizah Semail di bawah syarikat produksi SR One dan diarahkan oleh Fairuz Loy, Di Sebalik Reda meneruskan tradisi penerbitan berkualiti SR One yang sebelum ini dikenali menerusi kejayaan drama-drama popular seperti Takdir Itu Milik Aku dan Dia Imamku.
Kali ini, SR One kembali dengan sebuah kisah asli yang menggali pergelutan dalaman watak-watak utamanya yang saling terikat dalam dilema kehidupan yang tragis dan menyayat hati.
Mengisahkan kehidupan Darlina, seorang gadis tabah yang sering terpaksa mengalah demi kakaknya, Damia, yang juga individu kurang upaya.
Namun ujian sebenar bermula apabila kedua-dua adik-beradik ini terperangkap dalam perasaan terhadap lelaki yang sama iaitu Taufiq.

Darlina terpaksa menolak peluang kerjaya demi menjaga hati kakaknya, tetapi apabila cinta pula menjadi taruhan, persoalan besar timbul sanggupkah Darlina melepaskan cinta hatinya demi reda terhadap takdir.
Watak Darlina buat pertama kalinya dilakonkan oleh pelakon berbakat, Siti Khadijah Halim, yang digandingkan dengan pelakon popular Adam Lee sebagai Taufiq.
Gabungan mereka dijangka mencetuskan dinamika watak yang kuat dan penuh rasa, sejajar dengan misi drama ini untuk menyampaikan mesej yang mendalam kepada penonton.
Menurut Siti Khadijah, watak Darlina memerlukan kefahaman mendalam dan keterikatan emosi yang kuat.
Untuk menyelami sepenuhnya watak itu, dia memilih untuk ‘hidup’ sebagai Darlina sepanjang tempoh penggambaran, sama ada di dalam mahupun di luar set.
“Saya bercakap seperti Darlina, memahami latar belakang dan perasaannya agar saya benar-benar mengenal siapa dia.
“Darlina ialah gadis bongsu yang penuh impian, tetapi sering dipinggirkan dan dibuli oleh kakaknya sendiri.
“Dia sabar, kuat dan punya harapan besar walaupun sering tersisih,” kata Siti Khadijah.
Sementara itu, Adam Lee yang membawa watak Taufiq, mengakui hanya diberi tempoh seminggu untuk mendalami wataknya.
Namun, dia tetap menyahut cabaran itu demi memastikan penyampaian karakter yang jujur dan meyakinkan.
“Taufiq seorang lelaki yang sangat setia dan terlalu melindungi. Dia anak emak dan ini mewujudkan konflik menarik apabila menjadi rebutan dua adik-beradik.
“Saya percaya elemen ini jarang diketengahkan dalam drama tempatan, jadi ia pasti memberi kelainan dan pengalaman emosi yang mendalam kepada penonton,” katanya.
Adam berkata, naskhah ini bukan hanya tentang cinta, tetapi juga menggambarkan erti sebenar reda melepaskan sesuatu dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan.
Adam turut menekankan setiap watak dalam drama ini memainkan peranan penting dan menyumbang kepada keseluruhan naratif, menjadikan setiap episod penuh nilai dan perlu ditonton hingga ke penghujung.
Slot Tiara sememangnya dikenali kerana keprihatinannya dalam mengetengahkan watak golongan kurang upaya sebagai fokus utama cerita.
Di Sebalik Reda meneruskan pendekatan ini dengan penceritaan yang menghormati cabaran dan sensitiviti kelompok itu, di samping membuka ruang empati kepada khalayak.
Drama ini disiarkan di Astro Prima (saluran 105) setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.

Sinopsis
Kisah bermula dengan tragedi yang menimpa keluarga Rahim apabila anak sulungnya, Damia, mengalami kecacatan fizikal dan perlu bergantung kepada kerusi roda.
Sejak itu, seluruh keluarga terutama adiknya, Darlina, berusaha menjaga perasaan Damia yang sering dimanjakan sehingga menjadi seorang yang sukar untuk bertolak ansur.
Konflik memuncak apabila Darlina bertemu dengan Taufiq seorang lelaki penyayang yang menjadi harapan cinta buat dirinya.
Namun perasaan yang sama turut berputik dalam hati Damia, mencetuskan perebutan cinta antara dua beradik ini.
Sementara itu, kemunculan ibu kandung Rahim yang ingin menebus kesilapan lalu membuka satu lagi lembaran drama dalam keluarga ini apabila konflik dalaman dan perebutan harta mula timbul antara Rahim, adiknya Zaidi dan isteri Zaidi, Nabila.
Satu kemalangan yang menimpa Rahim dan isterinya menjadi titik perubahan yang menyatukan semula hubungan ibu dan anak, tetapi dalam masa sama mendedahkan motif sebenar watak-watak lain yang turut dibayangi niat tamak dan manipulasi.
Dengan kekuatan lakonan dan jalan cerita yang emosional, Di Sebalik Reda dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton serta menjadi antara drama paling diingati tahun ini.

