editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia (UMM), anak syarikat kepada Universal Music Group (UMG) yang juga peneraju global dalam hiburan berasaskan muzik, mengumumkan kerjasama strategik menerusi pemerolehan pegangan majoriti dalam Faithful Music, sebuah label rakaman tempatan yang semakin menyerlah di pentas industri muzik Malaysia.
Kerjasama ini bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting bagi kedua-dua entiti, malah memperkukuh kedudukan Universal Music Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran muzik tempatan dan rantau Nusantara yang merangkumi Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Melalui perjanjian ini, UMM turut dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi katalog muzik milik Faithful Music satu langkah strategik yang dijangka membuka lebih banyak peluang untuk artis-artis di bawah naungan label itu.
Faithful Music diasaskan pada tahun 2015 oleh penyanyi dan penerbit muzik prolifik, Faizal Tahir, bersama rakan kongsi beliau, Mike Chan.
Sejak penubuhannya, label ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap muzik tempatan, menerusi penghasilan karya-karya popular seperti Santai, Alamak Raya Lagi, dan Angau sekaligus melahirkan barisan artis yang memiliki identiti muzik tersendiri.
Faizal Tahir berkata, kerjasama ini adalah satu pengiktirafan terhadap kekuatan karya serta potensi besar artis-artis tempatan.
“Peluang bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sangat mengujakan bagi Faithful Music. Ini juga satu pengiktirafan besar terhadap kepentingan dan kekuatan lagu serta artis tempatan.
“Faithful Music ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa setiap artis, pada setiap peringkat kerjaya mereka, berhak menerima peluang berkualiti tinggi untuk berkembang maju dan berjaya.
“Kami teruja untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan yang kami tawarkan kepada klien kami menerusi kerjasama ini bersama pasukan Universal Music,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, kerjasama ini sebagai satu pelaburan strategik dalam komuniti muzik tempatan, yang akan terus memacu pertumbuhan jangka panjang industri hiburan tanah air.
“Bukan sekadar membentuk satu perkongsian, ia juga adalah pelaburan dalam komuniti muzik tempatan yang selari dengan komitmen kami untuk menyokong pencipta muzik yang sedia ada, mahupun bakal-bakal pencipta muzik di masa depan, dengan sokongan bertaraf dunia,” katanya.
Kim Lim berkata, Faithful Music adalah rakan kongsi yang berkongsi semangat dan visi yang sama dengan UMM, khususnya dalam penghasilan muzik ikonik yang mampu memberi impak besar.
“Dengan perancangan kami untuk mengembangkan segmen muzik positif dan kanak-kanak serta membina keupayaan sebagai agensi sehenti untuk rakan jenama, inilah masa yang paling sesuai untuk memulakan babak baharu yang menarik bersama Faithful Music,” katanya.
Kerjasama ini turut terhasil berikutan kejayaan beberapa kolaborasi terdahulu antara UMM dan Faithful Music.
Antaranya termasuk lagu raya berjudul Raya Pum Pang yang meraih lebih sejuta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu pelancarannya, serta Memang Smart AYE, sebuah lagu kerjasama menampilkan artis-artis baharu dari kedua-dua label seperti Insomniacks, Sabronzo dari kumpulan DOLLA, Aziz Harun dan Killa Driz.
Lagu itu turut digunakan sebagai jingle rasmi dalam kempen berskala besar oleh Samsung Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Asia Tenggara merangkap Naib Presiden Kanan Asia Calvin Wong berkata, pihaknya teruja dengan penyertaan Faithful Music ke dalam keluarga Universal Music.
“Ini satu penghormatan bagi kami untuk mengalu-alukan Faithful Music pengkalan ramai artis muda yang berbakat ke dalam keluarga Universal Music Malaysia.
“Kami tidak sabar dan bersemangat untuk bekerjasama dengan artis-artis ini dengan mempersembahkan bakat mereka kepada lebih ramai pendengar menerusi rangkaian kami yang menyeluruh di peringkat domestik serta antarabangsa,” katanya.
Kerjasama ini bukan sekadar memperkukuh struktur industri muzik tempatan, malah dijangka membuka lembaran baharu dalam penciptaan kandungan kreatif yang lebih inovatif, serta memperluas capaian global untuk artis-artis tempatan.
Ia juga mencerminkan komitmen jangka panjang kedua-dua pihak dalam melabur untuk pembangunan bakat baharu dan memperkasakan ekosistem muzik tanah air secara menyeluruh.

