editormaxinfo@gmail.com
AMPANG – Satu malam penuh magis menanti pencinta seni tanah air apabila syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn. Bhd., mengumumkan penganjuran Konsert Legasi P. Ramlee, sebuah persembahan berskala besar yang bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza.
Konsert istimewa ini menjadi kemuncak kepada usaha berterusan Tanahair Films, yang diasaskan oleh penggiat seni tersohor Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, dalam mengangkat kembali martabat seni Melayu dan memperingati legasi agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tokoh seni negara yang tidak pernah luput dalam ingatan masyarakat.
Pengumuman konsert itu disampaikan menerusi satu sidang media yang bukan sahaja memperkenalkan barisan artis yang akan menjayakan konsert, malah turut memperlihatkan visi kreatif projek ini di bawah naungan ‘Projek Perdana P. Ramlee’, sebagai satu penghormatan terhadap pencapaian seni luar biasa tokoh legenda berkenaan dan generasinya.

Tidak hanya sekadar sebuah persembahan muzik, Konsert Legasi P. Ramlee digarap dengan pendekatan teatrikal, dramatik dan sinematik, menggabungkan elemen klasik dan kontemporari dalam satu produksi yang dijangka mampu menyentuh emosi khalayak dari pelbagai lapisan usia.
Dengan menampilkan lebih daripada 30 karya agung P. Ramlee dalam susunan muzik baharu dan tradisi, konsert ini bakal membawa penonton menyusuri semula zaman kegemilangan seni Melayu dalam nuansa yang segar dan memukau.
Empat nama besar dalam industri muzik tempatan iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen akan menerajui aspek pengarahan muzik.
Dengan iringan sebuah orkestra besar yang terdiri daripada 60 pemuzik profesional, penonton akan dihidangkan dengan medley, persembahan duet dan solo, semuanya berlandaskan kekuatan komposisi dan emosi karya P. Ramlee yang tidak pernah lapuk dek zaman.

Antara barisan artis yang bakal menghidupkan pentas termasuklah Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera, dan Liza Hanim, yang masing-masing bakal memberikan interpretasi tersendiri terhadap lagu-lagu malar segar seniman agung negara itu.
Persembahan mereka dijangka menjadi penghormatan yang penuh gaya, merangkumi keunikan vokal dan identiti seni masing-masing.
Menambah keistimewaan, konsert ini turut menampilkan persembahan oleh tiga figura istimewa yang sinonim dengan persona dan gaya P. Ramlee iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah, dan Musly Ramlee yang akan membawa penonton mengimbau suasana era klasik melalui gaya persembahan yang menggabungkan keaslian serta elemen kontemporari, menjadikan pengalaman malam itu lebih menyeluruh dan bermakna.
Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, konsert ini adalah kesinambungan kepada Projek Perdana P. Ramlee yang dimulakan melalui format Legasi Podcast sejak September 2024.

Beliau menyifatkan konsert ini sebagai suatu titik penting dalam usaha memperkukuh seni tanah air dan menghubungkan generasi lama dan baharu melalui satu pentas bersama.
“Konsert ini tidak hanya sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan antara zaman, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman.
“Malah konsert ini bakal melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” katanya.

Dalam pada itu, Adlin Aman Ramlie, yang bertindak sebagai pengarah artistik dan pencetus utama projek ini, menjanjikan sebuah malam yang bukan sahaja akan membangkitkan nostalgia, tetapi juga mempersembahkan semula keindahan seni P. Ramlee dengan nuansa segar dan menakjubkan.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya oleh sentuhan empat maestro muzik tersohor.
“Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee dalam setiap melodi, babak dan emosi,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Legasi P. Ramlee boleh didapati di laman sesawang www.ticket2u.com.my bermula Jumaat, 27 Jun 2025.
Orang ramai dijemput untuk mengikuti perkembangan terkini serta sorotan eksklusif di saluran media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast menerusi Facebook, Instagram dan TikTok.

