editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Kejayaan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu diketengahkan secara meluas kepada masyarakat bagi menangkis persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan mutu pendidikan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, banyak pencapaian cemerlang yang telah dicapai oleh universiti dan institusi pengajian tinggi di Malaysia masih belum mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat umum.
Beliau berkata, masyarakat sering kali tidak menyedari prestasi luar biasa IPT negara, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Katanya, kekurangan pendedahan terhadap pencapaian ini menyebabkan wujudnya tanggapan kurang tepat bahawa kualiti pendidikan tinggi negara semakin merosot, sedangkan realitinya adalah jauh lebih membanggakan.
“Mutu pendidikan tinggi kita telah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Kualiti universiti dan institusi kita terbukti melalui penarafan global yang diberikan oleh badan-badan penilai antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pencapaian sektor pendidikan tinggi dipromosikan secara lebih aktif melalui platform rasmi dan media sosial institusi.
Langkah ini dilihat penting bagi memastikan rakyat dapat menilai dan memahami kekuatan sebenar pendidikan tinggi negara.
“Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi-agensi di bawahnya serta IPT sendiri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembaharuan yang harus dikongsi bersama masyarakat.
“Ini juga selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, yang mahu meningkatkan keterlihatan sektor pendidikan tinggi Malaysia di mata masyarakat tempatan dan antarabangsa,” katanya semasa menghadiri majlis perasmian Hari TVET Negara di Melaka, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Shatar turut menekankan kepentingan memperkukuh persepsi terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat mengubah pandangan bahawa TVET adalah pilihan kedua berbanding pendidikan akademik konvensional.
Katanya, kualiti program-program TVET kini telah meningkat seiring dengan kehendak industri dan pasaran kerja, malah kadar kebolehpasaran graduan dalam bidang ini kini mencecah lebih 98 peratus.
Menurutnya, angka ini, membuktikan bahawa tenaga kerja berkemahiran tinggi mendapat permintaan yang amat tinggi.
“Sekiranya pencapaian sektor TVET ini tidak didedahkan, masyarakat akan terus mengekalkan tanggapan lama bahawa TVET adalah kurang bernilai.
“Kita tidak boleh membiarkan persepsi lapuk ini berterusan. TVET kini berdiri setaraf dengan program akademik dan membuka peluang kerjaya yang luas kepada generasi muda,” katanya.
Tambahnya, sudah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak daripada kementerian, institusi, sehingga kepada masyarakat untuk menyokong dan memartabatkan sistem pendidikan negara.
Dengan mempromosikan kejayaan yang telah dicapai, sektor pendidikan tinggi Malaysia bukan sahaja dapat meraih keyakinan masyarakat, malah mampu menonjol di pentas dunia.

