32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Festival Muzik OOO 2025 tawar gabungan hiburan, teknologi dan gaya hidup

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur bakal bergema dengan dentuman irama pelbagai genre apabila Festival Muzik OOO 2025 dianjurkan secara rasmi pada 1 Julai ini di Heritage Valley.

Festival ini, hasil kerjasama antara OPPO dan Warner Music Malaysia, menjanjikan pengalaman muzik luar biasa dengan barisan artis ternama tanah air, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab hiburan dan kreativiti.

Festival yang dinanti-nantikan ini bakal menyatukan tenaga luar biasa dari genre pop, hip-hop, indie dan rock melalui persembahan langsung oleh nama-nama besar seperti Noh Salleh, MASDO, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang.

Dengan permulaan acara pada jam 6 petang dan berakhir sekitar 11.30 malam, festival ini bukan sekadar persembahan muzik semata-mata, malah menjadi medan sambutan gaya hidup yang menggabungkan hiburan, teknologi dan interaksi digital.

Bagi kumpulan MASDO, festival ini membawa makna istimewa apabila mereka menyifatkan ia sebagai pentas pemanas badan menjelang konsert besar mereka sempena ulang tahun ke-10 penglibatan dalam industri muzik tanah air yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos akan datang.

“Kami teruja untuk turut serta dalam Festival Muzik OOO 2025 kerana melihat senarai artis yang turut menjayakan acara ini memang luar biasa.

“Ia satu peluang yang rugi jika dilepaskan. Kami juga menganggap festival ini sebagai medan pemanas badan sebelum beraksi dalam konsert solo kami tidak lama lagi.

“Insya-Allah, ada kejutan yang akan kami umumkan untuk para peminat yang hadir,” kata Ali, mewakili anggota kumpulan MASDO, Ceri dan Mawi.

Festival ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi siri baharu telefon pintar OPPO Reno, menjadikan acara ini lebih daripada sekadar hiburan ia satu sambutan teknologi, kreativiti dan keterhubungan yang menyeluruh.

Gabungan muzik dan inovasi ini dijangka membuka dimensi baharu dalam pengalaman hiburan tempatan.

Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian berkata, pihaknya melahirkan rasa teruja terhadap penganjuran festival ini yang pertama kali diadakan bagi meraikan bakat luar biasa artis-artis tempatan.

“Festival Muzik OOO 2025 bukan sekadar sebuah konsert, ia adalah perayaan budaya moden yang menyatukan masyarakat melalui muzik, kreativiti dan inovasi.

“Kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan OPPO dalam usaha mengetengahkan artis-artis hebat tempatan kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Selain persembahan muzik, festival ini turut menyediakan pelbagai elemen pengalaman menarik seperti gerai makanan dan minuman, serta pameran interaktif daripada jenama-jenama terbabit.

Antaranya termasuk Proton e.MAS yang bekerjasama dengan OPPO dalam menghasilkan siri kandungan digital khas bertajuk Roda Karaoke sebuah rancangan video gaya ‘carpool karaoke’ yang menampilkan artis-artis festival seperti Bunga, MASDO, Noh Salleh dan FUGŌ.

Kandungan ini memberikan peluang kepada peminat untuk melihat sisi santai artis kegemaran mereka sambil menonjolkan rekaan dan ciri terkini model kenderaan Proton e.MAS.

Pengunjung festival turut berpeluang melihat kereta berkenaan secara dekat melalui booth pameran khas yang disediakan.

Dengan harga tiket serendah RM50, Festival Muzik OOO 2025 menawarkan satu malam yang bukan sahaja dipenuhi dengan irama dan persembahan bertenaga, tetapi juga pelbagai elemen gaya hidup yang mencerminkan semangat generasi masa kini.

Bagi peminat setia muzik tempatan, ini adalah acara yang tidak wajar dilepaskan menyatukan bintang paling berpengaruh dan mencipta kenangan yang akan dikenang sepanjang tahun.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular