27.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026

Yayasan Nurjiwa hulur insentif RM500 kepada pelajar cemerlang SPM, suntik semangat kejayaan akademik

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Dalam usaha memperkasa semangat kecemerlangan di kalangan pelajar, Yayasan Nurjiwa buat julung kalinya memperkenalkan insentif wang tunai sebanyak RM500 kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan semua A.

Inisiatif murni ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Tuisyen PTTI dan menyaksikan seramai 401 pelajar menerima insentif berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM200,500.

Majlis penyerahan insentif ini berlangsung penuh meriah dalam Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dan turut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk pelajar, ibu bapa serta tokoh-tokoh pendidikan dan masyarakat.

Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut hadir dalam majlis itu menyifatkan insentif ini sebagai satu bentuk sokongan moral yang mampu menjadi pemangkin kejayaan lebih besar dalam kalangan pelajar di masa hadapan.

Menurutnya, selain mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar, insentif ini juga bertujuan untuk menyuntik motivasi kepada calon-calon SPM akan datang supaya lebih berusaha mengejar kecemerlangan akademik.

“Ini adalah kali pertama buat Yayasan Nurjiwa menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A.

“Harapan kami agar dengan usaha ini, lebih ramai pelajar akan bersemangat untuk mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan akan datang,” katanya.

Selain memfokuskan kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa turut menzahirkan komitmen dalam membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.

Usaha ini direalisasikan melalui penyediaan makanan harian kepada hampir 100 pelajar, khususnya dari kelompok B40 dan anak-anak yatim.

Inisiatif kebajikan ini telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan diteruskan secara konsisten bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan hidup.

“Setiap hari, kami menyediakan makanan kepada hampir 100 pelajar yang kurang berkemampuan. Ini termasuklah anak-anak yatim yang memerlukan sokongan asas.

“Walaupun ia kelihatan kecil, kami percaya bantuan sebegini mampu memberi kesan besar dalam kehidupan mereka,” katanya lagi.

Yayasan Nurjiwa yang diasaskan bersama suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, terus memberikan fokus dalam bidang pendidikan dan kebajikan sebagai teras utama perjuangan mereka.

Komitmen mereka dalam membantu pelajar bukan sahaja dilihat dari aspek material, malah dari segi sokongan moral dan emosi yang penting dalam membina masa depan generasi muda.

Langkah Yayasan Nurjiwa ini dilihat sebagai satu usaha terpuji dalam menyokong aspirasi negara melahirkan modal insan cemerlang.

Dengan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan seperti PTTI, inisiatif seumpama ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan pendidikan di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular