27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Mulakan tugas: Doktor Hua, doktor AI pertama dunia kini berkhidmat di Arab Saudi

editormaxinfo@gmail.com

RIYADH –  Arab Saudi sekali lagi mencipta sejarah apabila membuka klinik pertama di dunia yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) secara menyeluruh dalam proses diagnosis dan rawatan pesakit.

Inovasi luar biasa ini dilaporkan oleh majalah Leaders dan menandakan satu langkah besar dalam bidang perubatan dan teknologi di peringkat global.

Klinik berteknologi tinggi itu adalah hasil kerjasama antara syarikat teknologi perubatan terkemuka dari China, Synyi AI, bersama Almoosa Health Group.

Program perintis klinik ini telah dimulakan di wilayah timur Arab Saudi, Al-Ahsa, pada bulan lalu.

Melalui inisiatif ini, Arab Saudi berhasrat menggantikan peranan doktor manusia sebagai barisan pertama dalam pemeriksaan dan rawatan pesakit menggunakan sistem AI yang canggih.

Menurut laporan portal NDTV, walaupun AI berperanan utama dalam proses perubatan, peranan doktor manusia masih kekal sebagai ‘penjaga keselamatan’ yang bertanggungjawab untuk mengesahkan keputusan diagnosis dan rawatan yang dibuat oleh sistem AI.

Ini bagi memastikan ketepatan dan keselamatan dalam setiap proses perubatan yang dijalankan.

Dalam kenyataan rasmi daripada Synyi AI yang berpusat di Shanghai, dijelaskan bahawa klinik AI berfungsi sebagai sistem perkhidmatan perubatan inovatif di mana doktor AI akan menjalankan keseluruhan proses perubatan secara berdikari, bermula dari soal selidik pesakit sehingga ke peringkat preskripsi ubat.

Namun, pengesahan akhir tetap dilakukan oleh doktor manusia bagi memastikan kesahihan dan keberkesanan rawatan.

Menurut majalah Leaders, setiap pesakit yang hadir ke klinik ini akan berinteraksi dengan doktor AI yang diberi nama ‘Dr Hua’ melalui penggunaan tablet.

Pesakit akan menerangkan simptom penyakit yang dialami, diikuti dengan sesi soal jawab tambahan oleh Dr Hua yang dilengkapi dengan keupayaan menganalisis data perubatan serta imej yang diambil dengan bantuan pembantu manusia.

Selepas sesi konsultasi selesai, Dr Hua akan menyediakan pelan rawatan yang kemudian disemak dengan teliti dan disahkan oleh doktor sebenar.

Selain itu, doktor manusia juga sentiasa bersedia untuk menangani sebarang kecemasan yang tidak dapat dikendalikan oleh AI.

Setakat ini, fungsi doktor AI ini tertumpu kepada konsultasi bagi penyakit berkaitan sistem pernafasan yang merangkumi lebih kurang 30 jenis penyakit termasuk asma dan radang tekak.

Synyi AI turut merancang untuk memperluaskan kemampuan Dr Hua bagi merangkumi 50 penyakit dalam bidang pernafasan, gastroenterologi dan dermatologi.

Data diagnostik daripada program perintis ini akan dihantar kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk kelulusan rasmi yang dijangka dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Dalam fasa ujian awal, teknologi AI ini telah mencatatkan kadar ralat yang amat rendah iaitu hanya 0.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Synyi AI, Zhang Shaodian berkata, sebelum ini AI hanya berperanan membantu doktor, namun kini ia mampu menjalankan proses perubatan secara lebih berdikari dengan ketepatan yang tinggi.

Synyi AI yang turut disokong oleh syarikat teknologi terkemuka seperti Tencent, Hongshan Capital, GGV Capital serta kerajaan tempatan, menggunakan Model Bahasa Besar (Large Language Model – LLM) yang telah diubah suai mengikut bahasa perubatan, bahasa tempatan dan budaya setempat.

Ini membolehkan AI terbabit menyesuaikan diri dengan keperluan khusus serantau, sekali gus meningkatkan keberkesanan dan ketepatan diagnosis serta rawatan yang diberikan.

Dengan pembukaan klinik ini, Arab Saudi bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam inovasi teknologi perubatan, malah membuka lembaran baru dalam penggunaan AI dalam bidang kesihatan secara meluas di peringkat antarabangsa. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular