27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 22, 2026

Tradisi diteruskan: Kerajaan Perak agih 436 ekor lembu korban ke 59 DUN Negeri

editormaxinfo@gmail.com

IPOH – Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Kerajaan Negeri Perak meneruskan tradisi tahunan dengan mengagihkan sebanyak 436 ekor lembu korban ke semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berterusan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebagai usaha menyemarakkan semangat ibadah dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Antara GLC yang terbabit dalam penyaluran sumbangan termasuklah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP), serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

“Setiap kawasan DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban, termasuk kawasan yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam.

“Ini bagi memastikan pengagihan manfaat ibadah korban dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan korban ini turut membabitkan pelbagai institusi dan kumpulan masyarakat seperti masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan komuniti, serta badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri.

Mengikut amalan yang telah dipraktikkan sebelum ini, lafaz akad korban akan disempurnakan oleh ADUN beragama Islam atau wakil yang dilantik di kawasan masing-masing.

Bagi kawasan DUN yang diwakili oleh ADUN bukan Islam, tanggungjawab terbabit akan digalas oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Saarani berkata, garis panduan lengkap berkaitan pelaksanaan ibadah korban akan diedarkan kepada semua pihak yang terbabit.

Langkah ini penting bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan mematuhi kehendak syarak, khususnya yang berkaitan dengan konsep wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang melaksanakan ibadah terbabit.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban ini akan dirujuk kepada garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjamin pematuhan dari aspek agama dan kesihatan haiwan.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ikatan masyarakat pelbagai kaum di Perak melalui nilai murni pengorbanan, keprihatinan dan kesatuan yang menjadi teras sambutan Aidiladha setiap tahun.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular