editormaxinfo@gmail.com
LANGKAWI – Dalam usaha memperkukuhkan kawalan keselamatan perairan negara yang semakin mencabar, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil peluang daripada penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) untuk meninjau potensi penggunaan teknologi canggih, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan pintar.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi operasi agensi yang kini berhadapan dengan pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan yang lebih kompleks dan sukar dijangka.
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti analisis data masa nyata dan sistem amaran automatik dilihat mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan serta mempercepatkan tindak balas terhadap insiden yang berlaku di laut.
“Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, analisis data masa nyata, serta sistem pemantauan pintar bagi mempertingkatkan kecekapan pemantauan dan respons terhadap insiden di laut,” katanya ketika ditemui semasa pameran berlangsung di Langkawi.
Beliau berkata, penyertaan Maritim Malaysia dalam LIMA 2025 bukan sekadar pameran, malah menjadi platform penting bagi mengenal pasti teknologi terkini serta meneroka peluang kerjasama strategik dengan pemain industri keselamatan maritim, baik dari dalam mahupun luar negara.
“Kami turut mengalu-alukan sebarang bentuk jalinan kerjasama baharu dengan rakan strategik bagi memastikan aset, sistem dan keupayaan operasi kekal relevan dan efektif dalam mendepani cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Rosli berkata, walaupun teknologi moden mampu meningkatkan keberkesanan operasi, peranan anggota Maritim Malaysia tetap menjadi tulang belakang dalam menjalankan tugas di lapangan.
Katanya, teknologi perlu dilihat sebagai pelengkap kepada kecekapan manusia, bukan sebagai pengganti.
“AI boleh bantu dari segi membuat keputusan pantas, menjejak vesel nelayan asing (VNA), atau memberi amaran awal melalui pengesanan automatik.
“Ini semua akan membantu penguat kuasa Maritim Malaysia di lapangan untuk lebih proaktif,” katanya.

Sepanjang penganjuran LIMA 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini, Maritim Malaysia dijangka mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup bersama rakan strategik dan agensi keselamatan antarabangsa.
Sesi ini bertujuan memperhalusi potensi kerjasama jangka panjang, terutamanya dalam aspek pembangunan teknologi dan peningkatan kapasiti penguatkuasaan.
LIMA 2025 tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 860 pempamer dari dalam dan luar negara, serta pelbagai demonstrasi udara dan laut yang menarik perhatian bukan sahaja pengunjung profesional tetapi juga masyarakat umum. Ia menjadi medan strategik buat agensi seperti Maritim Malaysia untuk terus mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks dengan pendekatan lebih inovatif dan bersepadu.


Cool partnership https://shorturl.fm/a0B2m