editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi koperasi yang paling berdaya tahan di negara ini apabila mencatat prestasi kewangan yang semakin memberangsangkan hasil pelaksanaan pelan rasionalisasi berfokus serta tadbir urus yang mantap.
Pengerusi KPF, Dato’ Mohd Banuri Aris berkata, usaha pembaharuan dan penstrukturan semula yang digerakkan sejak beberapa tahun lalu kini mula membuahkan hasil yang nyata.
Katanya, langkah-langkah ini, bukan sahaja memperkukuh asas kewangan koperasi, tetapi juga berjaya mengembalikan keyakinan anggota terhadap hala tuju organisasi.
“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” katanya.
Antara langkah utama yang dilaksanakan melalui Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan termasuklah penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025, pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan serta penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
Strategi ini bukan sekadar bertujuan menjana aliran tunai baharu, malah dirangka untuk memastikan KPF kekal relevan dan berdaya saing dalam jangka panjang.
“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” katanya.
Dalam masa yang sama, KPF turut komited terhadap kebajikan anggotanya, khususnya berhubung permintaan tinggi bagi pengeluaran syer.
Sepanjang tempoh dari tahun 2022 hingga April 2025, koperasi berkenaan telah menerima sebanyak 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 18,783 permohonan membabitkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota.
Permohonan selebihnya, yang merangkumi nilai RM372.13 juta daripada 10,376 permohonan, sedang diselesaikan secara berfasa mengikut keutamaan.
Keutamaan khas diberikan kepada kes-kes yang membabitkan keperluan kritikal seperti kos rawatan perubatan, tujuan ibadah haji dan umrah, serta keperluan pendidikan.
“Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan, bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama,” katanya.
Kejayaan pelaksanaan pelan ini turut didokong oleh tadbir urus yang cekap serta kerjasama erat bersama FELDA.
KPF merakamkan penghargaan kepada FELDA, khususnya kepada Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, atas kepercayaan dan sokongan strategik yang diberikan.
Pelantikan KPF sebagai ejen tunggal bagi urusan pembelian Buah Tandan Segar (BTS) serta pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) membuktikan kepercayaan FELDA terhadap peranan penting koperasi itu dalam memperkasa komuniti peneroka.
Lebih membanggakan, KPF terus mengekalkan prestasi kewangan yang stabil dan tidak pernah mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan pengurusan yang berkesan serta kekuatan asas ekonomi koperasi.
Mohd Banuri turut menyeru seluruh anggota KPF untuk terus memberikan sokongan dalam menjayakan agenda pemulihan dan pembangunan koperasi ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
“Sokongan tidak berbelah bahagi daripada anggota, khususnya peneroka yang setia bersama KPF sejak awal, adalah nadi kekuatan kami.
“Kita akan bangkit bersama untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya penuh semangat.