25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

B.Duck City Funs: Taman tema ikonik Asia pertama di Asia Tenggara kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Watak itik kuning ceria yang menjadi ikon kegemaran ramai di Asia kini melebarkan sayapnya ke Malaysia dengan pembukaan taman tema pertamanya di Asia Tenggara.

B.Duck, watak yang sinonim dengan keceriaan dan imaginasi sejak kemunculannya pada tahun 2005, kini menghidupkan suasana di Pavilion Bukit Jalil menerusi B.Duck City Funs, sebuah pengalaman taman tema sementara yang dijangka mencuri tumpuan pengunjung dari seluruh negara.

Bermula dari Mei hingga 2 November 2025, ruang terbuka PIAZZA di Pavilion Bukit Jalil ditransformasi menjadi sebuah “metropolis” bertemakan B.Duck, lengkap dengan pelbagai tarikan interaktif, permainan, zon bergambar dan jualan barangan eksklusif yang pasti menggembirakan pengunjung dari pelbagai lapisan umur.

Ketua Pegawai Eksekutif Retail, Kuala Lumpur Pavilion Sdn. Bhd. Dato’ Joyce Yap berkata, kehadiran taman tema ini selari dengan komitmen Pavilion Bukit Jalil untuk menawarkan pengalaman yang menggembirakan dan bermakna kepada pengunjung.

B.Duck City Funs adalah sambutan penuh warna-warni terhadap imaginasi dan keseronokan ruang di mana keluarga dan peminat boleh berkumpul, mencipta kenangan manis dan menikmati masa berkualiti bersama,” katanya.

Inisiatif ini diterajui oleh One Universe, syarikat produksi hiburan yang bertanggungjawab membawa B.Duck City Funs ke Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif One Universe World Sdn. Bhd. dan One Universal Production Sdn. Bhd., Alvin Lee berkata pihaknya berhasrat mengembangkan taman tema ini ke dua lagi lokasi utama di negara ini iaitu di Pulau Pinang dan Johor Bahru, serta terbuka untuk model francais di negeri-negeri lain.

“Kami mahu lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang merasai keunikan taman tema ini, dan menghidupkan semangat keceriaan B.Duck ke seluruh negara,” katanya.

Taman tema ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk tarikan utama seperti Bathroom Battle, di mana pengunjung dapat mengalami sensasi berada di dalam tab mandi ikonik B.Duck yang bergerak, serta Treasure Pirate Ship yang membawa mereka dalam pengembaraan penuh mendebarkan.

Zon trampolin Windmill pula menyediakan keseronokan aktif untuk kanak-kanak dan keluarga, manakala pelbagai permainan interaktif turut menanti.

Bagi memastikan pengalaman yang lancar dan mudah, B.Duck City Funs turut bekerjasama dengan Klook, platform terkemuka untuk tempahan aktiviti dan percutian di Asia.

Pengurus Besar Klook untuk Indonesia, Malaysia dan Singapura Sarah Wan berkata, melalui platform ini, pengunjung boleh membuat tempahan tiket awal dengan penjimatan sehingga 10 peratus dan mengelakkan barisan panjang di kaunter tiket.

“Kami mahu menjadikan hari keluarga di taman tema ini lebih mudah dan menyeronokkan untuk semua,” katanya.

Antara tarikan visual yang mencuri perhatian termasuk gerbang cahaya B.Duck yang menjadi mercu tanda taman tema ini, serta patung-patung B.Duck dalam pelbagai kostum bertemakan destinasi dunia.

Zon bergambar seperti Around the World dan suasana romantik ala Paris menawarkan latar menarik untuk pengunjung merakam memori indah.

Pada hujung minggu tertentu, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan B.Duck secara langsung, di samping menyertai pencarian patung B.Duck kecil yang tersembunyi di seluruh kawasan pusat beli-belah.

Bagi peminat setia, kawasan jualan barangan eksklusif menawarkan pelbagai cenderahati yang hanya boleh didapati di taman tema ini termasuk pakaian, aksesori, figura koleksi dan pakej istimewa.

Sementara itu, kawasan makanan dan minuman pula menyediakan pilihan antarabangsa dari Korea, Thailand dan Jepun, di samping sajian tempatan yang pasti memuaskan selera selepas seharian berhibur.

Harga tiket bermula serendah RM15 bagi setiap permainan, manakala pakej bernilai seperti Family Day Pass untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak ditawarkan pada harga RM150 untuk akses tanpa had ke semua tarikan sepanjang hari.

Taman tema ini dibuka dari jam 11 pagi hingga 10 malam pada hari Jumaat hingga Ahad, dan dari 2 petang hingga 10 malam pada hari Isnin, Rabu dan Khamis.

Ia ditutup setiap hari Selasa untuk tujuan penyelenggaraan, kecuali pada cuti umum.

Dengan gabungan hiburan, seni visual dan interaksi mesra keluarga, B.Duck City Funs menjanjikan pengalaman unik yang tidak hanya menghiburkan, malah membina kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular