editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan, MADCash Sdn. Bhd., terus mengukir nama di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai juara utama Anugerah Ethical Finance Innovation Challenge and Awards (EFICA) 2025 yang berlangsung dalam satu majlis makan malam gala penuh prestij di Dubai pada 24 April lalu.
Kejayaan itu menyaksikan MADCash membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AED 300,000, trofi peringatan serta pengiktirafan global dalam kalangan pemain industri kewangan Islam dan beretika.
EFICA, yang kini memasuki edisi ketujuh, adalah anugerah antarabangsa anjuran Abu Dhabi Islamic Bank (ADIB) dengan kerjasama London Stock Exchange Group.
Ia memberi pengiktirafan kepada inovasi dalam bidang kewangan yang menepati prinsip etika dan Syariah, sekali gus menonjolkan usaha-usaha progresif yang memberi impak positif kepada masyarakat.
MADCash yang berpengkalan di Malaysia berjaya mengatasi lebih 150 penyertaan dari seluruh dunia, dengan kejayaan muktamad ditentukan melalui undian langsung hadirin sewaktu sesi pembentangan oleh tiga finalis akhir.
Syarikat ini mengetengahkan pendekatan inovatif dalam menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada usahawan wanita, khususnya mereka yang tersisih daripada sistem perbankan konvensional.
Penghargaan diterima oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MADCash, Nuraizah Shamsul Baharin, yang tampil ke pentas bagi menerima replika cek dan trofi mewakili kejayaan besar syarikatnya.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan kemenangan ini sebagai satu pengesahan penting terhadap model perniagaan MADCash yang berasaskan impak sosial dan kewangan inklusif.
“Memenangi Anugerah EFICA sangat bermakna bagi kami. Ia suatu pengesahan terhadap model bisnes unik kami yang menyediakan pinjaman mikro tanpa faedah kepada usahawan mikro wanita yang tidak dapat menikmati perkhidmatan perbankan tradisional.
“Dengan anugerah ini, kami boleh teruskan usaha menambah kegunaan teknologi AI untuk perkasakan platform fintech kami,” katanya.
Beliau berkata, dana yang dimenangi akan digunakan untuk menambah baik proses pemilihan peminjam serta memperluas sokongan kepada lebih ramai wanita melalui penjejakan dana yang lebih efisien.
MADCash, yang kini beroperasi di Malaysia, Singapura dan Tajikistan, turut menyediakan latihan celik kewangan dan pendigitalan kepada kumpulan sasaran mereka.
Kemenangan di EFICA diyakini bakal mempercepatkan lagi perancangan syarikat untuk meluaskan operasinya ke Thailand dalam masa terdekat.
Syarikat ini juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama institusi kewangan utama termasuk Maybank Islamic Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, PayNet dan AEON Bank satu pencapaian yang menunjukkan keyakinan berterusan industri terhadap model perniagaan MADCash.

Pemilihan MADCash sebagai pemenang turut mendapat sokongan Lembaga Penasihat EFICA yang terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang kewangan Islam.
Finalis lain yang turut bersaing di peringkat akhir ialah Kestrl dari United Kingdom dan Kifiya Financial Technology dari Ethiopia, yang masing-masing membawa pendekatan tersendiri dalam menggerakkan agenda kewangan beretika.
Kejayaan MADCash ini bukan sahaja satu pencapaian membanggakan buat syarikat itu sendiri, tetapi juga mewakili pencapaian penting buat Malaysia.
Ia membuktikan bahawa negara ini bukan sahaja bersaing dalam inovasi teknologi kewangan, malah mampu menjadi peneraju dalam bidang kewangan Islam dan beretika yang memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam memperkasa golongan wanita.

