29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Ambil tindakan tegas, MOTAC gantung lesen Hejira Travel hingga 31 Ogos ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lesen syarikat pengurusan umrah, Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, telah digantung oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bermula 28 Februari lalu dan akan berterusan sehingga 31 Ogos 2025.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh penggantungan, syarikat berkenaan tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang urus niaga baru, termasuk pengiklanan atau jualan pakej umrah.

Selain itu, syarikat juga diwajibkan untuk menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah atau dibayar oleh pelanggan serta memulangkan bayaran serta dokumen yang berkaitan dengan jemaah yang memilih untuk membatalkan tempahan mereka.

MOTAC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang yang ditetapkan dalam industri pelancongan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia terjamin.

Keputusan penggantungan lesen ini dibuat susulan dakwaan Hejira Travel gagal menguruskan perjalanan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci, yang menyebabkan kesulitan kepada pelanggan.

Dalam perkembangan berkaitan, MOTAC turut mengumumkan pembatalan lesen bagi syarikat Borneovac Travel Sdn Bhd berkuat kuasa pada 28 Februari, berikutan insiden serius yang membabitkan operasi pakej memancing menggunakan bot laju hingga memasuki perairan Filipina secara haram pada 1 September 2024.

Akibat daripada insiden itu, 15 individu, termasuk warganegara Malaysia dan China, telah ditahan oleh pihak berkuasa Filipina.

Langkah tegas ini menunjukkan komitmen MOTAC untuk memastikan industri pelancongan di Malaysia beroperasi dengan penuh integriti dan mengutamakan kepentingan serta keselamatan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular