editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Le Méridien Kuala Lumpur meneruskan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dengan menganjurkan Program Earth Hour pada Sabtu ini.
Kejayaan hotel ini mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 820,505 kilowatt per jam (kWh) semasa penyertaan tahun lalu, yang turut membawa kepada perolehan pensijilan I-REC (Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa), menjadi pemangkin utama untuk melaksanakan inisiatif berkenaan lagi tahun ini.
Earth Hour, yang membabitkan penyertaan global, bertujuan untuk memelihara kelestarian alam semesta.
Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Le Méridien Kuala Lumpur, Christina Vanugopal, berkata, program ini akan dilaksanakan dari jam 8.30 malam, di mana hotel akan menutup lampu-lampu yang tidak penting di kawasan awam utama, termasuk lobi dan kolam renang, sebagai simbol sokongan kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja terhad pada program Earth Hour, malah ia sebahagian daripada usaha berterusan dalam operasi harian hotel untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
“Kami komited untuk terus menjalankan operasi secara lebih hijau dengan menggunakan konsep cekap tenaga serta sensor cahaya di bilik-bilik,” katanya.
Selain itu, Le Méridien Kuala Lumpur juga melaksanakan pelbagai inisiatif lestari termasuk penggunaan semula tuala dan linen, serta menggantikan botol plastik mandian dengan botol kaca yang boleh diisi semula.
Inisiatif pengurangan sisa makanan dan aktiviti kitar semula juga terus diberi tumpuan.
Bagi mempromosikan mobiliti hijau, hotel ini turut menyediakan tempat khusus untuk kereta elektrik (EV).
Lebih menarik lagi, melalui kerjasama dengan Next Gen Marriott Business Council Malaysia, Le Méridien baru-baru ini telah berganding bahu dengan Friends of Sungai Klang untuk membersih, mengecat, dan menanam pokok di sepanjang sungai terbabit.
“Semua usaha ini mencerminkan komitmen serius kami dalam menjaga kelestarian alam, yang turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk penerimaan Anugerah Kelestarian Antarabangsa daripada Luxury Lifestyle Awards,” katanya lagi.
Dengan penyertaan global dalam Program Earth Hour, Le Méridien Kuala Lumpur berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak individu dan organisasi untuk turut sama menjaga bumi kita demi masa depan yang lebih hijau.

