editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – MADS Karnival dengan kerjasama BUSANA @ Menara MARA menawarkan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM5,000 melalui Ganjaran Pesona Raya sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung yang datang merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri di sini.
Menggabungkan elemen warisan dan sentuhan moden, karnival ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan semangat perayaan, tetapi juga menjadikan BUSANA @ Menara MARA sebagai destinasi utama untuk persiapan Raya yang tidak boleh dilepaskan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn Bhd, Faizul Idzhar berkata, setiap tahun BUSANA @ Menara MARA komited untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui Bazar Raya yang disediakan.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka, sekaligus memberi ruang kepada masyarakat untuk membeli pelbagai barangan keperluan raya pada harga yang berpatutan.
“Sempena Aidilfitri tahun ini, pengunjung akan dapat menikmati dekorasi batik, promosi istimewa, pameran seni kraf tempatan, serta pelbagai aktiviti menarik yang menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyatan.
Menurutnya, ruang legar utama dan laluan berbumbung BUSANA @ Menara MARA akan dihiasi dengan elemen batik yang diinspirasikan daripada warisan tradisional, mencipta suasana perayaan yang penuh kemeriahan dan kehangatan.

Tidak hanya itu, kemeriahan Aidilfitri turut disemarakkan dengan Bazaar Glam Raya yang berlangsung di Medan MARA, Kuala Lumpur, menampilkan vendor fesyen, aksesori, dan kuih raya yang memberikan sentuhan eksklusif kepada pengunjung yang ingin tampil bergaya sepanjang musim perayaan ini.
Karnival yang berlangsung dari 2 hingga 31 Mac 2025 ini akan menyajikan lebih 60 reruai jualan, termasuk bazar Aidilfitri yang menawarkan pelbagai pakaian Raya, tudung, songkok, aksesori, biskut raya, beg tangan, dan kasut.
Selain itu, Bazar Ramadan dan Street Café turut menyediakan pengalaman berbuka puasa dengan pilihan juadah enak di sekitar BUSANA @ Menara MARA dan Street Café, Medan MARA sepanjang bulan ini.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bagi menyemarakkan suasana Ramadan, antaranya persembahan daripada artis terkenal, pengagihan bubur lambuk percuma setiap hari, majlis berbuka puasa bersama asnaf dan gelandangan, serta ceramah khas Ramadan oleh penceramah jemputan.

