editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Kerajaan berpegang pada komitmen untuk melaksanakan agenda reformasi, termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pindaan itu perlu dilakukan dengan teliti dan memerlukan sokongan konsensus daripada semua parti politik serta sokongan dua pertiga daripada Ahli Parlimen.
“Ada cadangan yang saya setuju, untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun.
“Kita tahu, jika tempoh terlalu panjang, seperti 22 tahun, negara boleh rosak. Saya setuju, tetapi kita perlu runding dan mendapat sokongan daripada semua parti agar ada sokongan dua pertiga di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, jika beliau berada dalam posisi kuasa mutlak, beliau akan meluluskan cadangan terbabit segera, namun menegaskan beliau bukanlah seorang diktator.
“Saya sendiri, PKR, dan PH (Pakatan Harapan) bersetuju dengan cadangan ini. Kita perlu pastikan ada kesediaan dan persetujuan dua pertiga.
“Saya akan memulakan perubahan ini apabila semua pihak bersedia,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan agar usul ini tidak dibawa ke Parlimen selagi sokongan dua pertiga belum mencukupi.
“Pembangkang boleh berubah pendirian mereka, jadi jangan percaya apa yang mereka katakan,” katanya lagi.
Anwar berkata demikian ketika berucap dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di hadapan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.
Sebelum itu, Anthony Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berharap agar kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Loke berkata, janji ini terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH, ketika memulakan ucapannya, berkata sepanjang dua tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, pelbagai pencapaian dan reformasi pentadbiran telah dilaksanakan.
“Kita telah meminda Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pembangkang memilih untuk berkecuali.
“Kami juga meminda Perlembagaan untuk memartabatkan kuasa wanita, kerana tidak munasabah jika ‘parent’ dalam rujukan Perlembagaan adalah bapa,” katanya.
Anwar juga menekankan bahawa proses pindaan ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerana ia memerlukan sokongan dua pertiga dan mesti melalui Majlis Raja-Raja.
Terdapat juga pertimbangan keselamatan dan isu-isu luar yang perlu diambil kira untuk memastikan segala perubahan dilakukan dengan betul.
“Proses ini memakan masa, tetapi kita tidak akan berundur. Kita akan teruskan,” katanya penuh keyakinan.

