25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 4, 2026

Syamel lancar single “PERTAMA”, tampil gaya muzik baharu dan segar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi berprestasi vokal tinggi, Syamel, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul “PERTAMA”.

Single ini adalah sebuah karya segar ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim yang menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.

Lagu “PERTAMA” hadir dengan pendekatan muzik yang lebih groovy dan moden, sekali gus memperlihatkan transformasi berani Syamel daripada genre balada emosional yang sering menjadi identitinya sebelum ini.

Melalui sentuhan kreatif Edry Abdul Halim, lagu ini menampilkan gabungan bunyi kontemporari dan elemen vintage yang memberikan keunikan tersendiri serta membezakan ia daripada karya-karya terdahulu penyanyi tersebut.

Mengangkat tema cinta pandang pertama, “PERTAMA” tidak hanya tertumpu kepada hubungan antara dua insan, sebaliknya memperluaskan interpretasi kepada pengalaman spontan yang mencetuskan rasa teruja apabila pertama kali melihat sesuatu yang diminati.

Sama ada kereta impian, rumah idaman atau apa sahaja yang menyentuh hati, lagu ini meraikan momen ‘klik’ yang sukar dijelaskan namun cukup kuat untuk mencetuskan kebahagiaan.

Menurut Syamel, lagu ini menggambarkan perasaan spontan yang hadir tanpa diduga tetapi meninggalkan kesan mendalam.

Katanya, terdapat detik dalam kehidupan di mana seseorang terus merasakan satu hubungan emosi sebaik sahaja melihat sesuatu dan perasaan itulah yang cuba diterjemahkan melalui karya terbabit.

Melengkapkan penceritaan lagu, video muzik rasmi “PERTAMA” tampil dengan konsep sinematik yang unik.

Ia mengisahkan pertemuan ringkas antara dua individu asing yang berkembang menjadi kisah cinta sempurna, sebelum penonton akhirnya menyedari bahawa keseluruhan naratif itu hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.

Pendekatan ini menggambarkan bagaimana satu detik singkat mampu terasa begitu besar apabila perasaan hadir dengan begitu kuat.

Video muzik ini turut menampilkan kolaborasi bersama pempengaruh tempatan, Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander, yang membawa elemen segar serta karisma tersendiri dalam penceritaan visual.

Kehadiran mereka menambah daya tarikan kepada keseluruhan konsep yang sarat dengan elemen manis, lucu dan penuh fantasi.

Dari sudut persembahan vokal, Syamel tampil dengan gaya yang lebih santai, berani dan penuh ‘attitude’, selari dengan visi produksi lagu ini.

Kerjasama bersama Edry Abdul Halim juga memberi dimensi baharu kepada cara penyampaiannya, dengan penekanan terhadap emosi dan ekspresi yang lebih bebas serta bertenaga.

Dalam masa sama, “PERTAMA” turut membawa nilai sentimental apabila didedikasikan khas kepada para peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni Syamel sejak awal.

Mereka dianggap sebagai antara individu terawal yang percaya terhadap bakatnya, menjadikan lagu ini sebagai tanda penghargaan yang cukup bermakna.

Lebih daripada sekadar sebuah single, “PERTAMA” menjadi simbolik kepada permulaan baharu dalam evolusi muzik Syamel.

Ia membuka ruang kepada pelbagai eksplorasi seni yang bakal diketengahkan pada masa hadapan, termasuk pelbagai cerita, emosi dan kejutan yang dijanjikan oleh penyanyi berkenaan.

Single “PERTAMA” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala tarikh pelancaran video muzik rasmi akan diumumkan melalui saluran media sosial rasmi Syamel dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular