32.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 10, 2026

Subsidi RON95: Kerajaan disaran lebih fleksibel demi kebajikan rakyat

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Sebarang dasar atau peraturan baharu yang diperkenalkan kerajaan perlu mengambil kira aspek kebajikan rakyat secara menyeluruh agar pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat dan tidak membebankan masyarakat.

Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pelaksanaan subsidi petrol RON95 satu inisiatif yang wajar dihargai kerana membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Menurut beliau, mekanisme subsidi sebelum ini dilihat berjalan dengan baik apabila disasarkan kepada kumpulan tertentu menggunakan kad pengenalan sebagai kaedah pengesahan.

Malah, masyarakat juga memahami pelarasan kuota subsidi daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan yang dibuat berdasarkan faktor luaran seperti ketidaktentuan ekonomi global serta konflik antarabangsa yang mempengaruhi harga minyak.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebimbangan mula timbul dalam kalangan rakyat susulan pengenalan peraturan baharu yang hanya membenarkan pemilik kad pengenalan menggunakan subsidi itu secara langsung di stesen minyak.

Katanya, pelaksanaan yang terlalu ketat berpotensi menimbulkan kesukaran, terutamanya kepada keluarga yang mempunyai ahli tidak berkemampuan dari segi fizikal atau berdepan kekangan tertentu untuk hadir sendiri bagi mengisi minyak.

Dalam situasi sedemikian, beliau berpandangan penggunaan kad pengenalan oleh ahli keluarga dengan keizinan pemilik sepatutnya diberi kelonggaran bagi memudahkan urusan harian.

“Tindakan tegas perlu diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan seperti penggunaan tanpa kebenaran atau membabitkan kad pengenalan yang dicuri, namun pendekatan lebih fleksibel wajar dipertimbangkan bagi kes membabitkan ahli keluarga sendiri.

Dr Mohammad Shatar berkata, dalam keadaan ekonomi semasa, dasar yang diperkenalkan seharusnya memudahkan kehidupan rakyat dan bukannya menambah beban.

Menurutnya, penerimaan masyarakat terhadap sesuatu polisi bergantung kepada sejauh mana ia mengambil kira realiti kehidupan harian tanpa menjejaskan nilai norma, adat serta pegangan agama.

Beliau juga berharap kerajaan dapat menilai semula pelaksanaan peraturan itu agar selari dengan matlamat asal dasar, iaitu memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar pembuat dasar meneliti pendekatan kepimpinan terdahulu yang berpengalaman dalam merangka polisi sejak era awal kemerdekaan.

Katanya, pengalaman itu membuktikan bahawa dasar yang mengambil kira kepentingan keseluruhan masyarakat lebih mudah diterima serta mampu memberi impak positif kepada negara.

Untuk rekod, Musyawarah Nasional yang diasaskan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah platform penting bagi mencari titik temu, merumus penyelesaian dan membina konsensus nasional dalam pelbagai isu melibatkan kepentingan agama, masyarakat, ekonomi, pendidikan dan politik.

Inisiatif ini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Othman serta turut disertai barisan kepimpinan lain termasuk Datuk Prof Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Prof Dr Zainal Abidin Sanusi, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail dan Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub.

Pandangan yang dikemukakan mencerminkan keperluan untuk menyeimbangkan antara ketegasan pelaksanaan dasar dan keprihatinan terhadap realiti kehidupan rakyat, agar setiap polisi yang diperkenalkan benar-benar mencapai matlamatnya tanpa menimbulkan kesulitan kepada masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular