editormaxinfo@gmail.com
SHAH ALAM – Syarikat pengurusan umrah, Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan untuk menerbangkan seramai 5,000 jemaah bagi tahun 2026 hingga 2027, selari dengan perancangan strategik dan penambahbaikan pengurusan yang sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, sasaran itu membabitkan tempoh operasi selama kira-kira 10 bulan, merangkumi perjalanan sebelum dan selepas musim haji.
“Buat masa ini, syarikat memilih untuk menangguhkan sebarang perancangan berkaitan pengurusan jemaah haji sehingga tahun 2027 bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pengurusan benar-benar mantap dan teratur.
“Dalam usaha memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, Mubasyyir turut memperkenalkan pakej umrah ekonomi yang ditawarkan pada harga di bawah RM5,000.
“Pakej ini disasarkan kepada jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah dengan kos mampu milik tanpa menjejaskan aspek asas seperti tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan yang selesa serta bimbingan umrah sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Antara tawaran utama yang diperkenalkan ialah pakej umrah ekonomi berharga RM4,999, membabitkan penerbangan transit, penginapan selama lima malam di Mekah dan tiga malam di Madinah, dengan hotel yang disediakan berjarak tertentu dari Masjidil Haram serta menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.
Pakej ini ditawarkan bagi penerbangan pada musim biasa, di mana kos operasi adalah lebih rendah berbanding musim puncak seperti November, Disember, Januari dan Ramadan.
Selain pakej ekonomi, Mubasyyir turut menawarkan pakej premium yang menyediakan penginapan hotel bertaraf lima bintang yang lebih hampir dengan Masjidil Haram.
Pakej ini menyasarkan jemaah yang mengutamakan keselesaan maksimum, termasuk pergerakan yang lebih mudah serta perkhidmatan tambahan.
Pada masa sama, syarikat turut menyediakan pakej khas berkumpulan kecil dan pakej lebih sesuai bagi keluarga atau kumpulan persendirian.

Mengulas kebimbangan masyarakat terhadap pakej umrah murah yang sering dikaitkan dengan pelbagai isu, Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh berkata, mereka memberi jaminan setiap pakej yang ditawarkan telah diperincikan secara telus merangkumi kos tiket penerbangan, penginapan di Mekah dan Madinah, khidmat mutawif, pengangkutan serta lawatan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Kesemua tiket penerbangan adalah sah dan disusun mengikut perancangan operasi yang realistik.
“Keunikan utama Mubasyyir turut terletak pada pendekatan umrah berpengisian, di mana jemaah bukan sekadar menunaikan ibadah, malah diberikan penghayatan rohani melalui bimbingan berterusan daripada barisan asatizah yang terbabit secara langsung sepanjang perjalanan.
Pendekatan ini dilihat sebagai nilai tambah yang membezakan Mubasyyir daripada agensi lain di pasaran,” katanya.

Walaupun sasaran 5,000 jemaah dianggap sederhana berbanding agensi besar yang mampu mengendalikan ribuan jemaah setiap bulan, pihak pengurusan optimis sasaran terbabit mampu dicapai.
Penetapan jumlah ini dibuat bagi memastikan tahap kepuasan, keselesaan serta kawalan kualiti perkhidmatan dapat dikekalkan, sejajar dengan kemampuan pasukan pengurusan sedia ada.
Sejak penubuhan Mubasyyir, syarikat telah mengendalikan penerbangan umrah secara berperingkat dengan kapasiti antara 25 hingga 120 jemaah bagi setiap penerbangan.

Dengan kemasukan pengurusan baharu serta perancangan perniagaan yang lebih tersusun, Mubasyyir Travel kini menyasarkan pertumbuhan sehingga tiga kali ganda berdasarkan keupayaan pasukan dan strategi yang dirangka.
Buat masa ini, Mubasyyir Travel beroperasi melalui ibu pejabat sahaja dan belum membuka cawangan lain, selari dengan kedudukan syarikat sebagai pemain baharu dalam industri.
Namun, dengan sokongan pasukan pengurusan yang datang daripada pelbagai latar belakang serta kerjasama strategik bersama pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan tempatan, Mubasyyir yakin mampu muncul sebagai salah satu nama yang dikenali dalam industri umrah menjelang tahun 2026.

