30.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 1, 2025

Persidangan Women Way Forward 2025 pacu kepimpinan wanita ke arah masa depan cemerlang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persidangan Women Way Forward (W2F) 2025 yang bertemakan “Shaping Tomorrow. Building Success.” telah membuka tirainya di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin wanita terkemuka dari Malaysia dan rantau ASEAN bagi membincangkan hala tuju kepimpinan serta sumbangan wanita dalam industri pembinaan dan sektor berkaitan.

Acara berprestij ini dianjurkan oleh Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM) dengan sokongan padu daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia).

Penganjuran ini turut diadakan bersempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (International Construction Week – ICW), menjadikannya salah satu platform utama dalam memperkasakan peranan wanita dalam bidang pembinaan dan pembangunan negara.

Presiden WIBM merangkap Pengerusi Penganjur, Dato’ Ar. Nafisah Radin, berkata, W2F bukan sekadar sebuah persidangan, tetapi satu pemangkin kepada perubahan yang mampan.

“W2F bukan hanya sebuah persidangan ia adalah pemangkin kepada masa depan yang lebih inklusif.

“Kami di sini untuk membentuk masa depan dan membina kejayaan bersama melalui kepimpinan, bimbingan dan kolaborasi wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal, menyatakan penghargaan terhadap WIBM atas usaha memperkukuh ekosistem industri pembinaan melalui penglibatan wanita di semua peringkat.

“CIDB Malaysia berbangga menyokong inisiatif berimpak tinggi ini.

“Pemerkasaan wanita dalam seluruh rantaian industri pembinaan bukan sahaja penting untuk mencapai kepelbagaian dan keterangkuman, tetapi juga kunci kepada inovasi dan pertumbuhan lestari,” katanya.

Persidangan W2F 2025 turut mendapat sokongan berterusan daripada Timbalan Menteri Kerja Raya; Dato’ Seri Dr. Ahmad Maslan, yang dikenali sebagai penyokong kuat dasar kesamarataan gender dalam sektor pembinaan dan alam bina.

Antara tokoh ternama yang tampil sebagai penceramah dan ahli panel termasuklah Tan Sri Abdul Wahid Omar, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Datuk Nik Airina Nik Jaafar dan Ar. Datuk Tan Pei Ing.

Tidak ketinggalan barisan pemimpin serantau dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura yang membincangkan pelbagai perspektif mengenai kepimpinan wanita di peringkat global, serantau dan nasional.

Sepanjang program, peserta dibawa melalui perjalanan inspirasi global yang menggalakkan kolaborasi serantau dan kepimpinan nasional, sebelum acara diakhiri dengan forum penutup yang diketuai oleh barisan penggerak wanita muda Malaysia.

Dengan semangat “Shaping Tomorrow. Building Success.”, Persidangan W2F 2025 menjadi wadah penting untuk memperkukuh jaringan, perkongsian ilmu serta memperkasakan wanita agar terus maju seiring dengan pembangunan negara dan transformasi industri pembinaan menuju masa depan yang inklusif dan berdaya saing.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular