27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 9, 2025

Industri seni bukan lagi alat hiburan: Harapan Afdlin Shauki untuk Belanjawan 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setiap kali Belanjawan dibentangkan, penggiat seni tempatan terus menanti dengan harapan bahawa giliran mereka pula akan tiba bukan untuk sekadar diberi bantuan sementara, tetapi untuk dihargai sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan budaya negara.

Harapan ini dilontarkan oleh seorang pengarah, penerbit dan juga Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dato’ Afdlin Shauki Aksan, dalam satu kenyataan penuh harapan yang menuntut anjakan paradigma terhadap cara kerajaan memandang industri kreatif tanah air.

“Saya tidak meminta simpati atau dana bersifat sementara. Apa yang kami perlukan ialah pelan jangka panjang dan dasar yang membina ekosistem seni yang mampan,” katanya.

Bagi Afdlin, perkara paling asas yang perlu dirombak ialah persepsi terhadap seni dan hiburan.

 Beliau menegaskan hiburan tidak boleh lagi dianggap sebagai kos, sebaliknya sebagai pelaburan jangka panjang yang berpotensi besar menjana pendapatan negara dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Mengambil contoh kejayaan Korea Selatan dengan fenomena Hallyu, beliau berkata, kehebatan industri kreatif negara itu bukan sekadar budaya pop semata-mata, tetapi hasil daripada dasar kerajaan yang berani melabur dalam infrastruktur seni dan teknologi.

“Saya pernah melihat sendiri sebuah studio di Korea yang mempunyai set bawah air lengkap dengan sistem ombak mekanikal.

“Jika Malaysia mempunyai fasiliti seperti ini, bayangkan betapa banyak kisah hebat tanah air yang boleh divisualkan dengan lebih realistik dan membanggakan,” katanya.

Beliau mencadangkan agar Malaysia membangunkan semula kemudahan seperti studio berskala besar, set bangunan sejarah dan fasiliti produksi bertaraf antarabangsa bukan sahaja untuk kegunaan tempatan tetapi juga sebagai tarikan kepada produksi luar negara.

Dalam kenyataannya, Afdlin juga menggariskan seni bukan sekadar soal ekspresi atau hiburan, tetapi juga Adalah sebuah ekosistem ekonomi yang membabitkan ratusan tenaga kerja dalam setiap penghasilan karya.

“Di sebalik satu filem, ada penata kostum, tukang jahit, pemandu, jurukamera, jurusolek, pekerja katering dan banyak lagi.

“Ini semua adalah pekerjaan sebenar yang menggerakkan ekonomi negara secara langsung,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu sistem percukaian yang tidak memihak kepada penggiat seni yang kebanyakannya bekerja secara projek, tidak tetap dan sering berdepan ketidakstabilan pendapatan.

Justeru itu, beliau mencadangkan agar Belanjawan 2026 memperkenalkan pembaharuan cukai khas untuk sektor seni dan kreatif.

“Di Ireland, artis diberikan pengecualian cukai sehingga €50,000 pertama hasil karya mereka. Bayangkan jika langkah ini diperkenalkan di Malaysia, berapa ramai anak seni yang boleh hidup lebih stabil, berdaya saing dan terus berkarya,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan insentif cukai berganda kepada syarikat korporat yang melabur atau menaja projek seni tempatan agar seni tidak lagi dilihat sebagai tanggungjawab sosial semata-mata, tetapi sebagai pelaburan strategik.

Isu hak harta intelek turut mendapat perhatian serius dalam kenyataan Afdlin, yang menganggapnya sebagai nadi sebenar kepada kelangsungan industri kreatif.

Menurut beliau, ramai pencipta kandungan hilang hak terhadap karya mereka akibat dasar lama yang membenarkan penyiar nasional membeli semua hak (all rights) sesebuah karya tanpa mempertimbangkan hak cipta pencipta asal.

“Kita bercakap mahu menembusi pasaran dunia, tetapi bagaimana mahu berbuat demikian jika karya yang kita hasilkan bukan lagi milik kita?” soalnya.

Beliau mencadangkan agar pendekatan penyiar seperti RTM dan stesen-stesen lain beralih kepada pembelian hak siaran sahaja (licensing rights), bukannya hak milik mutlak, kecuali dengan bayaran yang setimpal dengan nilai pasaran sebenar karya terbabit.

Mengakhiri kenyataan itu, Afdlin menyeru agar kerajaan mengubah pendekatan daripada memberi bantuan bersifat sementara kepada membina keberdayaan penggiat seni melalui dasar yang berani dan menyeluruh.

“Jika ekosistem yang betul dibina daripada studio produksi moden, infrastruktur sokongan, insentif cukai, hingga kepada dasar perlindungan IP industri ini boleh menjadi salah satu sektor ekonomi utama negara,” katanya.

Beliau yakin dengan dasar yang tepat, Malaysia mampu membina semula industri kreatifnya sebagai satu kekuatan baharu dalam ekonomi nasional.

“Saya tidak bercakap hanya sebagai seorang pengarah atau pelakon. Saya bercakap sebagai anak seni yang telah lebih 25 tahun dalam industri ini.

“Apa yang kami perlukan ialah peluang untuk berkarya dengan bermaruah, bukan belas kasihan,” katanya penuh harapan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular