27.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 26, 2025

Skim pelaburan palsu RM1 bilion: Ratusan mangsa termasuk agensi kerajaan dan pelabur UK tampil dedah penipuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Tindakan MaPeR tampil mendedahkan wujudnya satu rangkaian skim pelaburan palsu berskala besar yang dipercayai telah memperdaya ratusan individu, syarikat korporat serta beberapa agensi kerajaan, dengan nilai kerugian mencecah hampir RM1 bilion.

Pengerusi sekretariat, Shah Abdul Malek berkata, skim penipuan berkenaan didalangi oleh seorang individu berprofil tinggi dan licik menggunakan taktik penyamaran serta manipulasi kepercayaan, termasuk mendakwa kononnya skim pelaburan yang ditawarkan mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan dijamin oleh insurans.

“Pelabur telah diperdaya oleh ejen-ejen yang menyamar sebagai kakitangan bank terkemuka seperti AmBank dan Alliance Bank.

“Mereka menawarkan skim pelaburan runcit dengan pulangan menarik yang kononnya sah dan dijamin. Antara pelabur yang terjejas termasuk seorang usahawan dari United Kingdom yang melabur hampir RM60 juta,” katanya.

Shah berkata demikian pada sidang media yang diadakan hari ini dan turut dihadiri oleh beberapa mangsa.

Menurut Shah, kegiatan sindiket ini dipercayai telah berlangsung sejak lebih sedekad lalu dan bukan sahaja membabitkan pelabur individu, malah beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi negeri di Kedah, Melaka dan Perlis turut menjadi mangsa.

Tidak terkecuali, sebuah institut penyelidikan Islam serta Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim di Pulau Pinang turut dilaporkan terjejas akibat penipuan ini.

Katanya lagi, salah satu strategi sindiket bagi memperkukuh keyakinan pelabur adalah dengan menamakan tokoh-tokoh korporat dan ahli perniagaan ternama yang bergelar Tan Sri sebagai ahli lembaga pengarah serta pemegang saham syarikat pelaburan berkenaan.

Taktik ini berjaya menimbulkan persepsi bahawa pelaburan itu adalah sah dan dipercayai ramai.

“Saya mempunyai senarai lebih daripada 300 pelabur yang wang mereka mungkin telah lesap. Mereka tidak tahu bahawa syarikat yang mereka percayai sebenarnya tidak mempunyai sebarang perniagaan sah.

“Hasil pelaburan itu tidak digunakan untuk sebarang tujuan perniagaan, sebaliknya saya percaya semua wang itu disalurkan ke poket peribadi individu terbabit,” katanya.

Salah seorang mangsa yang hadir pada sidang media ialah pelabur warga United Kingdom, Lee Meiklejohn.

Menurutnya, dia menjadi mangsa kepada individu yang dikenal pasti sebagai “Datuk Wira” antara Oktober 2010 hingga April 2011.

Walaupun telah membuat pelbagai laporan dan mengemukakan dokumen sokongan yang kukuh, kes berkenaan masih belum menunjukkan sebarang kemajuan.

“Kami datang ke sini hari ini bukan untuk menimbulkan kekecohan, tetapi untuk menuntut keadilan.

“Kami mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap dalang penipuan ini. Jika tidak, lebih ramai akan menjadi mangsa pada masa hadapan.

“Kepada mereka yang turut menjadi mangsa, saya menyeru agar anda tampil ke hadapan dan bantu dedahkan perkara ini supaya dana yang telah hilang dapat dipulihkan,” katanya.

Terdahulu, Pada November 2023, tiga individu turut tampil merayu agar lebih ramai mangsa membantu mendedahkan penipuan berskala besar ini, yang dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2007.

Namun, sehingga kini, tindakan tegas terhadap dalang utama sindiket berkenaan masih belum dilaksanakan.

Sekretariat Tindakan MaPeR kini menggesa pihak berkuasa agar tidak lagi berdiam diri dan segera mengambil tindakan menyeluruh terhadap rangkaian penipuan ini bagi melindungi kepentingan awam dan memulihkan kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular