27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 7, 2025

Isu arak di majlis rasmi: MOTAC perketat SOP, janji tidak akan berulang

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Susulan isu tular berkenaan penghidangan minuman keras di sebuah majlis makan malam rasmi baru-baru ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tampil menzahirkan rasa kesal serta memberi jaminan akan mengetatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi semua program dan acara di bawah seliaannya.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, MOTAC mengakui kekeliruan yang timbul akibat penganjuran acara terbabit telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

Kementerian itu turut mengambil maklum dan menyambut baik teguran tegas yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan perkara berkenaan.

“Kementerian dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

“MOTAC mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” menurut kenyataan itu.

Seiring dengan komitmen terbabit, MOTAC memberi jaminan bahawa pemantauan akan diperketat dan semua penganjuran program atau majlis rasmi di bawah kementerian akan terus dikendalikan mengikut garis panduan, etika dan tatacara yang ditetapkan kerajaan.

Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas nasihat, teguran membina dan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa sektor pelancongan, seni dan budaya negara.

Dalam masa yang sama, MOTAC berikrar untuk memperkukuh sistem komunikasi dalaman serta melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dalam setiap aspek penganjuran acara rasmi, bagi memastikan tanggungjawab yang dipikul dapat dilaksanakan secara berhemah dan berkesan demi kepentingan rakyat dan imej negara.

Terdahulu, Perdana Menteri telah mengeluarkan amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, serta pihak kementerian agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Beliau menegaskan penjelasan MOTAC, yang menyatakan minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi selesai, adalah tidak dapat diterima kerana dasar kerajaan tidak membenarkan penghidangan arak dalam mana-mana acara rasmi kerajaan, tanpa mengira masa atau konteks.

Isu ini mencetuskan reaksi meluas di media sosial serta mendapat perhatian rakyat, yang rata-rata mahukan agar penganjuran majlis rasmi kerajaan lebih mematuhi nilai dan garis panduan yang mencerminkan sensitiviti serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

MOTAC menutup kenyataannya dengan komitmen untuk terus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan integriti dalam setiap aspek penganjurannya, sebagai satu bentuk tanggungjawab kepada rakyat serta bagi memastikan imej negara di persada antarabangsa sentiasa terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular