27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 7, 2025

ALPHA tampilkan sisi versatil dalam ‘P. Ramlee & Saloma’, single kedua yang sarat jiwa 

editormaxinfo@gmail.com 

KUALA LUMPUR – Setelah mencetuskan fenomena luar biasa menerusi kemunculan sulung mereka dengan lagu “Mona Lisa (Bang Bang)”, kumpulan lelaki sensasi, ALPHA, kembali dengan buah tangan kedua yang tidak kurang hebat berjudul “P. Ramlee & Saloma”. 

Diterbitkan sepenuhnya di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, single ini menampilkan sisi berbeza kumpulan yang dianggotai oleh tujuh anak muda berbakat besar iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky.  

Jika “Mona Lisa (Bang Bang)” memperkenalkan mereka dengan irama pop moden penuh tenaga, kali ini ALPHA memilih pendekatan balada yang sarat emosi dan penuh makna. 

Lagu “P. Ramlee & Saloma” adalah hasil kolaborasi tiga nama besar dalam dunia penciptaan muzik iaitu Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE, menandakan satu langkah berani kumpulan ini dalam meneroka spektrum muzik yang lebih luas, sekali gus membuktikan keunikan dan versatiliti mereka sebagai artis serba boleh. 

Menerusi single kedua ini, ALPHA bukan sekadar menyampaikan lagu cinta biasa.  

Sebaliknya, ia adalah manifesto artistik yang memperkenalkan dimensi baru kepada identiti mereka kumpulan yang berani menongkah arus dan mencipta bunyi tersendiri.  

Judulnya yang menyentuh ikon seni tanah air, P. Ramlee dan Saloma, turut membawa makna simbolik tentang keserasian, legasi dan cinta sejati dalam seni muzik. 

“Lagu ini bukan hanya sekadar balada. Ia adalah penghormatan kepada keindahan klasik, tetapi dibawakan dalam nafas baharu.  

“Kami mahu membuktikan bahawa ALPHA bukan ‘one-trick pony’, sebaliknya kami hadir dengan keupayaan muzik yang pelbagai,” kata salah seorang anggota kumpulan. 

ALPHA bukan nama yang hadir secara tiba-tiba. Kumpulan ini dibentuk menerusi program realiti Big Stage Alpha, sebuah spin-off daripada rancangan popular Big Stage, yang memberi fokus sepenuhnya kepada pencarian bakat lelaki dari rantau Asia Tenggara. 

Seramai 18 peserta lelaki berumur antara 18 hingga 37 tahun dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia telah disaring dan diuji selama 8 minggu menerusi pelbagai cabaran kreatif serta latihan intensif.  

Peserta dinilai oleh barisan juri profesional ternama seperti Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini, sebelum tujuh finalis terbaik disatukan untuk membentuk kumpulan muktamad ALPHA. 

Dengan pakej lengkap merangkumi vokal mantap, karisma pentas, gaya tersendiri dan personaliti yang memikat, ALPHA kini muncul sebagai simbol baharu kebangkitan boy group dari Asia Tenggara. 

Nama ALPHA bukan sekadar label, tetapi membawa makna kepimpinan, kekuatan dan permulaan.  

Misi mereka jelas untuk menjadi pemangkin kepada era baharu muzik serantau yang berani, segar dan kompetitif di peringkat global. 

Melalui sinergi tujuh individu dari latar yang berbeza, mereka bersatu dengan satu tujuan mempersembahkan muzik berkualiti tinggi yang mampu bersaing di persada antarabangsa, sambil mengekalkan nilai-nilai identiti Asia Tenggara yang unik. 

Sebagai pembuka tirai, ALPHA memperkenalkan diri mereka dengan single debut “Mona Lisa (Bang Bang)”, sebuah lagu pop bertenaga tinggi yang dihasilkan oleh gabungan komposer tempatan dan antarabangsa seperti Justin Seow, Kuizz, James Chaw, Sean Lew, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand. 

Muzik video rasmi yang dilancarkan pada 6 Julai lalu turut mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih lebih 250,000 tontonan di YouTube dalam tempoh singkat satu pencapaian memberangsangkan bagi pendatang baharu. 

Pelancaran ALPHA dan perjalanan mereka adalah sebahagian daripada inisiatif besar Rocketfuel Entertainment dalam mengetengahkan bakat Asia Tenggara ke peringkat lebih tinggi. 

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, kumpulan ini adalah contoh jelas bagaimana bakat serantau mampu menyerlah apabila diberikan bimbingan, pendedahan serta platform yang tepat. 

“Kami percaya bahawa bakat tempatan tidak kalah dengan artis antarabangsa.  

“ALPHA adalah bukti bahawa kita mampu melahirkan bintang yang mempunyai nilai komersial dan artistik yang tinggi,” katanya. 

Single terbaru “P. Ramlee & Saloma” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan lain-lain.  

Video muzik rasmi untuk lagu ini juga bakal dilancarkan di saluran YouTube @RocketFuelNetwork tidak lama lagi. 

Dengan momentum yang semakin menguat dan sokongan peminat yang kian bertambah, ALPHA dilihat bersedia untuk mencipta gelombang kedua yang lebih besar bukan hanya dalam Malaysia, tetapi di seluruh rantau ini. 

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular