28.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 8, 2025

Ng Zhen Fan Shankar dinobat Tokoh Siswa Negara 2025

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar, mencipta sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025 pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN).

 Pengiktirafan tertinggi itu disampaikan sendiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, sebagai penghormatan atas kecemerlangan dan sumbangan luar biasa beliau dalam pelbagai bidang kepimpinan dan kesukarelawanan.

Berasal dari Klang, Selangor, Ng Zhen Fan Shankar baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di UPSI dan sedang bersiap untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang berkaitan.

Sepanjang pengajian, beliau telah membuktikan dirinya sebagai seorang mahasiswa yang aktif dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam kepimpinan pelajar dan khidmat masyarakat.

Shankar pernah berkhidmat sebagai Bendahari Kehormat dalam Majlis Perwakilan Pelajar UPSI selama dua sidang dan dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, sekali gus menunjukkan kebolehannya dalam memimpin dan mengurus organisasi pelajar dengan cemerlang.

Lebih menarik, keupayaan kepimpinan Ng Zhen Fan Shankar tidak terhad di peringkat kampus sahaja, malah beliau juga terbabit dalam aktiviti kesukarelawanan dan pengucapan awam di peringkat antarabangsa.

Ini menggambarkan komitmen beliau dalam memperluaskan pengaruh dan menyebarkan nilai-nilai positif di kalangan masyarakat pelajar tidak kira di dalam atau luar negara.

Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah platform berprestij yang meraikan bakat dan kepimpinan mahasiswa di seluruh negara.

Dalam majlis itu, seramai 13 kategori diiktiraf termasuk kelestarian, perpaduan, inovasi, khidmat komuniti, dan kepimpinan, dengan dua anugerah tertinggi iaitu Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa dan Anugerah Tokoh Siswa Negara.

Kejayaan Ng Zhen Fan Shankar sebagai penerima Tokoh Siswa Negara memperkukuh reputasi UPSI sebagai institusi pengajian tinggi yang konsisten melahirkan pemimpin muda berkualiti dan berdaya saing.

Selain Ng Zhen, satu lagi mahasiswa UPSI, Abbas Ali Iftikhar Hussain turut mencuri tumpuan apabila menerima Anugerah Tokoh Kelestarian Siswa.

Pencapaian kedua-dua mahasiswa ini menunjukkan kecemerlangan dan komitmen tinggi warga UPSI dalam menyumbang kepada pembangunan pelajar dan masyarakat.

Dalam ucapannya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, program seperti Anugerah Tokoh Siswa Negara bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada mahasiswa cemerlang, malah menjadi medan untuk membina dan memperkukuh kepimpinan pelajar di universiti, politeknik dan kolej komuniti.

Beliau yakin program kepimpinan yang dianjurkan di institusi pengajian tinggi akan terus membentuk generasi pelapis yang berdikari dan berpotensi besar dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti nyata bahawa kepimpinan mahasiswa UPSI sentiasa menyerlah di pentas nasional.

UPSI komited menyediakan pelbagai ruang untuk mahasiswa menggilap bakat dan potensi melalui aktiviti kokurikulum, kepimpinan dan sukarelawan yang dianjurkan secara konsisten.

Kejayaan Ng Zhen dan Abbas Ali menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus aktif dan berdaya saing demi membina negara.

Majlis anugerah ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Aneese Ibrahim; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr. Azlinda Azman.

Pengiktirafan kepada Ng Zhen Fan Shankar sebagai Tokoh Siswa Negara 2025 bukan sahaja menjadi lambang kecemerlangan peribadi, malah memperkukuh nama UPSI sebagai institusi yang berdaya saing dan mampu melahirkan pemimpin pelapis negara.

Diharapkan kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin semangat kepada mahasiswa lain untuk menonjolkan diri melalui kepimpinan dan khidmat masyarakat yang berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular