editormaxinfo@gmail.com
KELANA JAYA – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) terus melangkah proaktif dalam usaha memperkasa komuniti wanita apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga rakan strategik iaitu Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (WAWASANITA) dan Ledose Enterprise.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini disempurnakan oleh Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom dan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan kanan termasuk Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Zulhairy Jalaluddin dan Zainal Mohd Jais.
Turut hadir ialah Pengerusi YBCare, Datin Dr. Hartini Osman; Presiden WAWASANITA, Datin Dr. Norli Alias; serta pengasas Ledose Enterprise, Syamimi Zafirah Azlan bersama rakan kongsi strategik syarikat.
MoU ini menjadi landasan penting kepada penganjuran program berimpak tinggi bertajuk “Seminar Pemerkasaan Wanita: Kecantikan, Kemahiran & Keusahawanan” yang bakal memberi tumpuan kepada latihan kemahiran serta pembinaan jati diri wanita, khususnya dalam industri kecantikan dan keusahawanan mikro.

Menurut YBK, kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh bagi memerangi kemiskinan melalui pemerkasaan ekonomi wanita.
Antara objektif utama inisiatif ini termasuk memberi pendedahan awal kepada industri kecantikan, menyediakan latihan kemahiran secara teori dan praktikal dengan kadar mampu milik, serta membuka laluan kepada pensijilan profesional untuk peserta.
Latihan yang ditawarkan juga dijangka mampu membantu wanita menjana pendapatan secara mampan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup mereka serta keluarga.
Melalui sinergi ini, setiap organisasi membawa kekuatan tersendiri. YBK memperkukuh agendanya dalam membasmi kemiskinan dan mengupayakan golongan wanita.

YBCare pula memperluas misinya dalam pembangunan sosial dan kebajikan komuniti. WAWASANITA terus membina rangkaian usahawan wanita di peringkat negeri dan kebangsaan, manakala Ledose Enterprise memperkukuh jenama sebagai syarikat sosial yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
MoU ini berkuat kuasa serta-merta mulai 29 September 2025 dan akan berlangsung selama setahun hingga 28 September 2026.

Ia dijangka membuka lebih banyak peluang penganjuran program pembangunan kemahiran dan keusahawanan wanita di pelbagai peringkat komuniti, daerah dan negeri dengan sasaran melahirkan lebih ramai usahawan wanita berdikari dan berkemahiran tinggi.
YBK dalam kenyataannya akan terus memberi komitmen untuk terus menjalin kerjasama berimpak tinggi seumpama ini dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh jaringan ekonomi inklusif, selaras dengan agenda pembangunan mampan negara.