editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TV AlHijrah terus mengukuhkan peranannya sebagai stesen televisyen Islam progresif apabila mencipta sejarah sebagai stesen pertama di Malaysia yang berjaya memenuhi sepenuhnya syarat Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting dalam landskap penyiaran negara, malah mencerminkan iltizam TV AlHijrah dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan pembangunan moral bakat muda sentiasa dijaga secara beretika dan mengikut garis panduan perundangan yang sah.
Majlis penyerahan pengiktirafan itu telah disiarkan secara langsung melalui program bual bicara pagi “Assalamualaikum”, yang menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kamal Pardi, dan Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, sebagai tetamu khas.
Nadzariah berkata, pencapaian ini adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna buat seluruh warga kerja TV AlHijrah.
“Ia menandakan kejayaan stesen itu dalam menyeimbangkan antara nilai-nilai syariah dengan amalan terbaik industri penyiaran moden.
“Kami amat bersyukur dengan pengiktirafan ini kerana ia membuktikan komitmen berterusan kami untuk menjadi peneraju dalam aspek pematuhan undang-undang yang membabitkan penglibatan kanak-kanak dan orang muda dalam dunia penyiaran.
“Ia sekaligus mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap peranan TV AlHijrah dalam membina masyarakat yang berilmu dan berakhlak,” katanya.
Tambahnya, TV AlHijrah melihat pencapaian ini sebagai satu peluang untuk terus memperkasa penawaran kandungan berkualiti yang bukan sahaja menghibur, malah memberi nilai tambah dan panduan kehidupan kepada penonton muda di seluruh negara.
“Kami akan terus berusaha menghasilkan kandungan berimpak tinggi yang mendidik serta membimbing golongan kanak-kanak dan remaja.
“Ini sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi platform utama penyiaran kandungan Islam yang relevan, progresif dan menyeluruh,” katanya lagi.
Dalam usaha meningkatkan tahap kefahaman warga kerja terhadap keperluan undang-undang terbabit, TV AlHijrah juga akan bekerjasama secara lebih erat dengan pihak JTKSM bagi melaksanakan program latihan dan kesedaran khusus kepada penerbit dan kru produksi stesen itu.
Sejak ditubuhkan, TV AlHijrah terus komited menyediakan kandungan yang membina jati diri, memperkukuh nilai moral dan memperluas ilmu pengetahuan.
Pengiktirafan terbaharu ini menjadi bukti bahawa stesen berkenaan bukan sekadar mematuhi garis panduan industri, malah mendahului inisiatif kebajikan bakat muda dalam penyiaran negara.
Langkah ini dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan, organisasi berkaitan kanak-kanak serta syarikat penerbitan, dalam usaha memperluas penawaran kandungan positif dan membina untuk generasi masa depan.
Dengan pencapaian ini, TV AlHijrah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai stesen penyiaran Islam yang bertanggungjawab, progresif dan menjadi rujukan dalam usaha membentuk masyarakat MADANI yang seimbang antara ilmu dan akhlak.

