27.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 1, 2026

CIMB Artober 2025 raikan 5 tahun seni & kreativiti, kukuhkan Malaysia sebagai hab seni ASEAN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – CIMB Artober Art & Soul 2025 kembali buat tahun kelima dengan visi yang lebih berani, memperkukuh kedudukannya sebagai antara acara seni tahunan paling berprestij di Malaysia.

Dianjurkan oleh CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB” atau “Kumpulan”), program ini terus menonjol sebagai platform utama dalam menyokong perkembangan ekonomi kreatif negara dan rantau ASEAN secara keseluruhan.

Dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, majlis turut dihadiri oleh Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi CIMB Group dan Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB.

Acara pelancaran juga mendapat sokongan daripada delegasi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM), mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pertukaran budaya dan kreativiti serantau.

Menurut Novan Amirudin, CIMB Artober lebih daripada sekadar pameran seni ia adalah medan untuk menyampaikan suara, membina empati dan memperkukuh komuniti.

“Seni harus menjadi milik semua seni yang mengilhamkan, mencabar norma, dan menggalakkan kita membayangkan dunia yang lebih baik.

“Seperti seni, CIMB juga meraikan kepelbagaian dan kemajuan yang inklusif untuk semua,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, CIMB Artober telah berjaya mengumpul lebih RM20 juta untuk komuniti seni tempatan, menampilkan kira-kira 1,000 karya seni setiap tahun.

Tahun ini, acara ini mempersembahkan hasil karya lebih 100 artis dari lebih 30 galeri seni ternama, termasuk Taksu, G13 Gallery, Art+ Contemporary, Galeri Sasha, O Sculpture Art Space dan Richard Koh Projects.

Antara sorotan utama CIMB Artober 2025 termasuk:

-Pameran istimewa tujuh karya agung mendiang Datuk Ibrahim Hussein, legenda seni tanah air, dari koleksi peribadi yang jarang dipertontonkan kepada umum.

-Pameran solo tiga seniman terkemuka – Prof. Zulkifli Yusoff dengan “Transparency”, Daud Rahim dengan “The Mirror Within, The Soul of My True Self”, serta Tan Kai Sheuan dengan “Nothing Exists Alone”.

-Pameran kraf dan tekstil warisan dari Kampung Budaya Mah Meri dan Jabatan Penjara Malaysia.

-Pavilion Pahang, inisiatif oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menampilkan koleksi Songtik®, gabungan tenunan dan batik, serta tekstil tradisional Iban dari Sarawak seperti ikat dan pua kumbu.

-Sesi Art Talk eksklusif bersama tetamu istimewa termasuk Tuanku Azizah dan penceramah antarabangsa.

-Pameran fesyen seni yang memadukan seni visual dan busana ikonik penyanyi Aina Abdul, direka oleh pereka tersohor Melinda Looi.

Mengangkat semangat seni untuk tujuan yang lebih bermakna, CIMB turut menganjurkan lelongan amal pada 28 September 2025, di mana hasil kutipan akan disalurkan kepada usaha kemanusiaan di Gaza, melalui kerjasama dengan Mercy Malaysia.

Ini sekali lagi membuktikan komitmen CIMB untuk memacu perubahan positif kepada masyarakat melalui seni dan budaya.

CIMB Artober tahun ini turut mengambil pendekatan inovatif dengan memperkenalkan katalog digital interaktif, membolehkan pengunjung bukan sahaja melihat karya seni secara maya, malah membayangkannya dalam ruang kediaman mereka menerusi teknologi visualisasi.

Pendekatan ini memperluas akses kepada pengalaman seni bagi khalayak lebih luas, sejajar dengan landskap digital masa kini.

Acara ini berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 lalu, bertempat di Dewan 1, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Sebagai platform utama seni visual, budaya dan komuniti, CIMB Artober 2025 terus memainkan peranan penting dalam membina jambatan antara artis, pelabur seni dan masyarakat, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi kreatif Malaysia dan ASEAN ke tahap yang lebih tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular