26.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 8, 2025

Rafidah Ibrahim berdepan risiko sita aset dan bankrap akibat gagal bayar saman RM281,000

editormaxinfo@gmail.com

BATU CAVES – Selebriti dan aktivis masyarakat, Rafidah Ibrahim bakal berdepan tindakan undang-undang lebih tegas termasuk penyitaan aset dan kemungkinan difailkan kebankrapan, selepas gagal menjelaskan bayaran saman fitnah berjumlah RM281,000 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai 2024.

Tindakan itu bakal diambil oleh ahli perniagaan, Datuk Haris Embong, bersama syarikat miliknya, Arisprop Holdings Sdn Bhd, selepas tempoh lebih setahun diberikan kepada Rafidah untuk mematuhi keputusan mahkamah masih tidak diendahkan.

Menurut Datuk Haris yang juga Pengarah Urusan Arisprop, langkah ini bukanlah keputusan mudah, namun ia perlu diambil bagi memastikan keputusan mahkamah dihormati serta menjaga kredibiliti beliau dan syarikat selepas reputasi mereka tercalar akibat tuduhan tidak berasas.

“Sejak isu ini timbul, saya dan syarikat berdepan pelbagai persepsi negatif. Kami dihujani komen serta tuduhan daripada netizen, yang secara langsung menjejaskan nama baik kami di mata umum dan juga rakan niaga,” katanya pada sidang media yang diadakan hari ini.

Saman fitnah itu difailkan oleh Datuk Haris dan Arisprop Holdings pada November 2021, susulan dua hantaran media sosial yang dimuat naik Rafidah Ibrahim pada September dan Oktober tahun sama.

Dalam hantaran itu, Datuk Haris didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral, manakala Arisprop Holdings dituduh menjalankan perniagaan secara tidak beretika.

Selepas melalui perbicaraan selama dua hari pada 16 dan 17 Mei 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan pada Julai tahun lalu bahawa Rafidah bersalah memfitnah Datuk Haris dan syarikatnya.

Mahkamah mengarahkan Rafidah membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Datuk Haris dan RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain kos guaman RM30,000 serta fi alokator RM1,200.

Jumlah keseluruhan yang diperintahkan mencecah RM281,200, dengan kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman hingga bayaran selesai.

Datuk Haris berkata, pihaknya telah mendapatkan nasihat perundangan daripada firma guaman Tetuan Izral Partnership untuk meneliti langkah seterusnya.

“Kami kini sedang mempertimbangkan pilihan undang-undang termasuk menyita aset atau memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Rafidah Ibrahim, memandangkan tiada sebarang bayaran dibuat sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, tindakan ini bukanlah bermotifkan dendam peribadi, sebaliknya bertujuan membersihkan nama serta memastikan keadilan ditegakkan.

“Saya menghormati undang-undang dan percaya sistem kehakiman negara telah memberikan keputusan yang adil. Kini tiba masanya keputusan itu dipatuhi,” katanya.

Kes ini menjadi peringatan penting kepada orang ramai bahawa fitnah, terutamanya di media sosial, boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.

Ia juga menggariskan kepentingan mempertahankan reputasi dan maruah melalui saluran yang sah.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular