editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Selangor sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mendepani masa depan ekonomi berasaskan kreativiti menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang akan berlangsung esok, 23 hingga 24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.
Majlis perasmian ekspo ini akan disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, sekaligus menandakan detik bersejarah dalam inisiatif Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif yang mampan dan inklusif.
Ekspo bertemakan “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy” ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan di bawah pimpinan YB Mohd Najwan Halimi, dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) sebagai agensi pelaksana.
Ia selari dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035, yang menyasarkan untuk menjadikan kreativiti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Berbeza daripada pameran konvensional, SCEE25 tampil sebagai gerakan strategik untuk membina jaringan rentas sektor yang membabitkan kerajaan, pemain industri, pelabur, akademia, NGO dan golongan kreatif.
Najwan Halimi berkata, ekonomi kreatif tidak lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi teras baharu dalam menjana peluang pekerjaan, pembangunan usahawan dan pertumbuhan ekonomi.
“Ekspo ini bukan sekadar acara ianya adalah komitmen untuk membayangkan semula masa depan Selangor.
“Kami menjemput orang ramai untuk hadir, meneroka pameran, menyertai forum, menyaksikan persembahan secara langsung dan menjadi sebahagian daripada gerakan yang meletakkan kreativiti di teras ekonomi kita,” katanya.
Ekspo ini akan berpusat sekitar empat teras utama di bawah konsep CRE8, yang dirangka untuk memperkasa industri kreatif Selangor iaitu;
1-CRE8Policy – Pentas diskusi dasar melalui sesi townhall, forum dan dialog berkaitan pembiayaan, pelesenan harta intelek (IP), dan pembangunan hab komuniti kreatif.
2-CRE8Fund – Pelancaran Dana Mikro Kreatif Selangor berjumlah RM80,000 sebagai suntikan pembiayaan awal kepada usahawan kreatif tempatan.
3-CRE8Stage – Pentas persembahan seni, sesi pitching, pameran dan pertunjukan yang menggabungkan elemen budaya dan nilai komersial.
4-CRE8Biz Xchange – Platform pemadanan perniagaan secara langsung antara usahawan, pelabur, agensi kerajaan dan jenama utama.
Industri ekonomi kreatif Selangor merangkumi tiga cabang utama iaitu seni budaya, seni multimedia dan seni warisan budaya.
Dengan perkembangan global yang menunjukkan ekonomi kreatif sebagai penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekspo ini menjadi landasan penting dalam menyokong visi negeri untuk menjana RM20 bilion output ekonomi kreatif menjelang 2035.

Antara matlamat utama penganjuran SCEE25 termasuklah:
-Mewujudkan peluang pelesenan, kerjasama jenama dan perniagaan baharu.
-Menyediakan akses kepada pelaburan dan pasaran kepada usahawan kreatif.
-Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi kreativiti sebagai alat penyatuan sosial, pembangunan ekonomi dan identiti negeri.
Orang ramai daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, belia, usahawan dan pelabur dijemput hadir memeriahkan ekspo dua hari ini.
Kemasukan adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di laman rasmi selangorcreative.com.
Melalui SCEE25, Selangor mengorak langkah lebih jauh dalam membina sebuah negeri yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga kaya dengan nilai seni, budaya dan inovasi.
Ekspo ini bukan sahaja bakal memacu perubahan landskap industri kreatif tempatan, malah mengangkat Selangor sebagai peneraju ekonomi kreatif di rantau ini.