31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Didi & Friends: Storytime perkasa inisiatif inklusif Astro bersama komuniti OKU

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam dunia kandungan digital diteruskan apabila Astro dengan kerjasama Warnakala Studios menganjurkan acara istimewa Didi & Friends: Storytime, yang disasarkan khusus buat kanak-kanak daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Acara yang berlangsung di Brickfields itu menyaksikan kehadiran lebih 200 peserta daripada komuniti orang pekak dan warga OKU penglihatan.

Ia bertujuan membudayakan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan penceritaan yang bersifat interaktif, menyeronokkan serta inklusif selaras dengan komitmen Astro dalam menyediakan kandungan yang selamat dan mesra untuk semua.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri; Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Pathmanathan A/L R. Nalasamy; Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario; Ketua Pegawai Komersial Warnakala Studios, Ched Yusaiddi; Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Dato’ George Thomas; dan Pengarah Komunikasi & Kelestarian Astro, Foo Su Lynn.

Menerusi pendekatan inklusif ini, Astro sekali lagi membuktikan kesungguhan untuk memperluas akses kandungan kepada komuniti yang pelbagai.

Ia termasuk penerbitan Didi & Friends: Storytime dalam versi buku audio, membolehkan kanak-kanak OKU penglihatan menikmati pengalaman penceritaan yang imersif melalui format mesra pendengaran.

Nancy dalam ucapannya menyifatkan inisiatif itu sebagai contoh terbaik bagaimana media mampu menyumbang kepada pembentukan literasi awal kanak-kanak.

“Siri Didi & Friends: Storytime berjaya menggabungkan elemen penceritaan yang menyeronokkan dengan pendekatan pembelajaran yang menyeluruh.

“Paling penting, acara ini membuktikan bahawa semua kanak-kanak tanpa mengira latar keupayaan boleh bersama-sama belajar, berimaginasi dan membina keyakinan diri,” katanya.

Acara yang penuh warna-warni itu turut menampilkan persembahan maskot kesayangan kanak-kanak, Didi & Friends, di samping sesi bercerita bersama ‘Abang Paan’ dan tayangan awal episod versi audio.

Untuk memastikan keterangkuman sepenuhnya, jurubahasa isyarat daripada MFD hadir menyediakan interpretasi langsung dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sepanjang program berlangsung.

Menariknya, satu episod istimewa Didi & Friends turut diterbitkan dalam versi BIM bersama lagu khas yang ditayangkan pada majlis berkenaan, membuktikan bahawa kandungan mesra OKU kini bukan lagi sekadar tambahan tetapi keperluan asas yang diraikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kandungan Astro Agnes Rozario, berkata inisiatif seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Astro untuk memperkasa komuniti dengan kandungan tempatan yang mewakili semua lapisan masyarakat.

“Kami mahu semua kanak-kanak tidak kira latar belakang atau keupayaan berpeluang menikmati kandungan yang membina nilai, keyakinan dan empati.

“Inklusiviti bukan hanya slogan, ia prinsip penting dalam membina masyarakat yang progresif dan penyayang,” katanya.

Keseluruhan siri Didi & Friends: Storytime akan dilancarkan secara eksklusif menerusi aplikasi Syok sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Enam episod pertama akan mula boleh didengari pada 31 Ogos 2025, manakala baki enam episod seterusnya akan dilancarkan pada 16 September 2025.

Lebih menarik, kesemua episod ini dinarasikan oleh 12 personaliti popular Astro termasuk penyampai radio, pengacara dan pelakon seperti Hani Fadzil (Mix), Anas Tahir (Zayan), Sarah Karmila (Sinar), Hawa Rizwana dan ramai lagi menjadikan koleksi buku audio ini bukan sahaja mendidik, malah penuh warna dan jiwa.

Strim episod baharu Didi & Friends: Storytime setiap hari Jumaat, jam 3 petang di Astro Ceria, Astro GO dan sooka serta jangan lupa muat turun aplikasi Syok secara percuma untuk akses penuh kepada kandungan eksklusif ini.

Astro sekali lagi membuktikan bahawa dalam dunia hiburan dan pendidikan, tiada batas untuk mencipta ruang yang lebih inklusif, adil dan menyeronokkan untuk semua.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular