editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Suara merdu Glenn Fredly yang pernah membuai jiwa jutaan pendengar akan kembali bergema bukan sekadar dalam ingatan, tetapi secara visual di pentas menerusi teknologi hologram yang mengagumkan.
Konsert “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia”, yang dijadual berlangsung pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan pengalaman luar biasa dalam meraikan cinta, warisan seni dan semangat yang tidak pernah padam.
Selepas kejayaan luar biasa konsert sama yang berlangsung di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu, sambutan hangat terhadap persembahan holografik Glenn Fredly membuktikan bahawa kehilangan fizikal tidak mampu memadamkan cinta dan penghargaan yang mendalam terhadap legasi muzik beliau.
Kini, rakyat Malaysia pula berpeluang mengubati rindu dalam sebuah perayaan seni yang mengangkat kenangan dan jiwa mendiang.

Konsert ini dibawakan oleh Premier Live Productions dengan kerjasama Matahati Sdn Bhd, menampilkan bukan sahaja teknologi canggih yang menghidupkan semula figura Glenn Fredly di atas pentas, tetapi juga barisan artis yang pernah berkongsi cinta dan karya bersamanya.
Isteri mendiang, Mutia Ayu, bersama Ryan D’Masiv, Noh Salleh dan Nadira Adnan akan menyertai kumpulan pengiring asal Glenn, The Bakuucakar, dalam menjayakan persembahan penuh makna ini.
Menurut penganjur, Ibram Putra, konsert ini bukan sekadar sebuah pertunjukan hiburan, tetapi satu ruang suci untuk mengenang dan merenung nilai-nilai yang dibawa oleh Glenn semasa hayatnya.
“Bait lirik yang puitis dan melodi penuh nuansa telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup banyak orang.
“Warisannya bukan sahaja hidup dalam lagu-lagu, tetapi juga dalam nilai yang diperjuangkannya keberagaman, perdamaian, dan kemanusiaan,” katanya.

Antara lagu-lagu yang bakal mengisi malam penuh emosi ini termasuk karya ikonik seperti “Kasih Putih”, “Januari”, “Akhir Cerita Cinta”, “Sedih Tak Berujung” dan “Terserah”.
Setiap lagu dipilih untuk menyampaikan kisah cinta, kehilangan dan harapan dengan kejujuran yang meresap ke dalam jiwa pendengar.
Bagi Anuar Osman daripada Matahati Sdn Bhd selaku rakan promotor konsert ini, peluang membawa persembahan seistimewa ini ke Malaysia adalah satu penghormatan besar.
“Kami yakin bahawa peminat Glenn Fredly di Malaysia telah lama menantikan detik ini.
“Ia bukan hanya peluang untuk menikmati muzik beliau secara langsung, tetapi juga untuk merasai semula kehadirannya melalui teknologi yang menghubungkan kenangan,” katanya.

Tidak sekadar hiburan, konsert ini menjadi penanda sejarah dalam dunia muzik Asia Tenggara, membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi jambatan antara masa lalu dan masa kini, antara kehilangan dan penghormatan.
Tiket bagi “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia” bermula dari harga RM188 dan boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi penganjur di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords dan @glennfredlymusik.

